Volkswagen Passenger Car Malaysia (VPCM) telah menyiarkan imej teaser untuk model Passat B8 versi facelift, dalam varian Elegance pada laman rasmi mereka. Serentak dengan itu, anda turut boleh mendaftarkan minat di laman berkenaan.

Model kemaskini tersebut menerima berberapa perubahan pada bahagian luaran. Pada bahagian hadapan, ia diberikan bampar dengan perumah lampu kabus yang lebih bersegi, gril yang disentuh semula dan juga lampu utama lebih nipis.

Di belakang pula, Passat facelift tersebut dipadankan dengan lampu belakang LED baharu, bampar bersama perumah corong ekzos baharu, manakala perkataan “Passat” dialih ke bawah logo VW seperti pada model Arteon.

Berpandukan gambar Passat B8 facelift tersebut yang ditemui di bawa dengan lori pengangkut minggu lalu, model pasaran Malaysia akan menerima lampu hadapan LED matrix IG.Light, dan juga rim aloi 18-inci “Liverpool” bersama tayar 235/45R18.

Ia akan dipasarkan sebagai 2.0 TSI Elegence – seperti versi Eropah yang didedahkan Februari lalu, enjin ini ditala dengan kuasa lebih rendah 190 PS/320 Nm (berbanding 220 PS/350 Nm untuk model pre-facelift), manakala kotak gear automatik DSG enam-kelajuan klac berkembar jenis basah akan digantikan unit tujuh-kelajuan. Enjin 1.8 liter TSI dijangka akan digugurkan untuk pasaran Malaysia.

Tiada sebarang imej lagi untuk bahagian dalaman bagi versi pasaran tempatan ini. Berdasarkan model pasaran luar, hanya sedikit perubahan dapat dilihat – antaranya adalah papan meter digital Active Display Info bersaiz 11.7-inci yang memaparkan grafik lebih jelas.

Untuk sistem infotainmen pula, model facelift ini hadir dengan sistem baharu Modular Infotainment Matrix (MIB3), namun masih belum jelas pasaran Malaysia akan dibekalkan dengan sistem yang mana kerana ada tiga sistem berbeza disediakan untuk Passat, bermula dengan sistem Composition Media tanpa sistem navigasi dengan skrin 6.5-inci, hingga sistem lengkap Discover Pro dengan skrin 9.2-inci.

GALERI: Spyshot Volkswagen Passat B8 facelift di Malaysia