Berhubung dengan kenyataan Kementerian Kerja Raya mengenai pelaksanaan kutip tol menggunakan teknologi Radio Frequency Identification (RFID) di 62 plaza tol dan lebuhraya sistem tol terbuka bagi kenderaan Kelas 1 bakal dimulakan pada 1 Januari 2020, Konsortium Lebuhraya Utara Timur (KESTURI) pengendali Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) turut mengumumkan sebanyak 23 lorong RFID sedia beroperasi di lebuhrayanya.

Pengarah Urusan KESTURI, Tan Sri Datuk Seri Lim Keng Cheng berkata, DUKE sudah bersedia untuk menawarkan sistem RFID kepada para penggunanya. Malahan DUKE juga telah menjadi salah satu lebuhraya perintis dalam pembangunan sistem RFID di Malaysia.

“Untuk pengetahuan umum, sejumlah 23 lorong RFID di kesemua plaza DUKE telah bersedia untuk beroperasi. Malah kami percaya, dengan pembayaran tol secara RFID ini mampu melancarkan lagi aliran trafik di plaza tol memandangkan pengguna tidak perlu lagi berhenti di lorong tol untuk membuat bayaran,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh KESTURI.

Justeru, pihak DUKE juga berharap agar para pengguna dapat beralih kepada sistem pembayaran RFID yang lebih efisien kerana respon positif yang diterima sepanjang ujian rintis RFID dijalankan sejak 2018.

“Pengguna Lebuhraya DUKE yang ingin mendapatkan pelekat RFID boleh mendapatkannya di Fitment Centre Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Plaza Tol Segambut. Bagi pengguna yang telah memasangnya, diharap sentiasa menyemak baki e-wallet agar ia mencukupi untuk pembayaran tol sebelum memasuki lebuhraya bagi menikmati perjalanan yang lebih lancar dan selesa,” ujarnya lagi.