Mazda CX-30 dilancarkan di Malaysia – tiga varian CBU, ada AEB dan MRCC, harga dari RM143,059

Mazda CX-30 dilancarkan di Malaysia – tiga varian CBU, ada AEB dan MRCC, harga dari RM143,059

Setelah dibuka tempahan sejak 21 November 2019, hari ini Mazda CX-30 telah pun dilancarkan di pasaran Malaysia. SUV Crossover yang diasaskan dari Mazda 3 ini diposisikan di tengah antara model CX-5 dan CX3.

Menurut Bermaz, versi awalan ini adalah diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun, dan mereka merancang untuk memproduksi CX-30 ini secara pemasangan tempatan (CKD) di kilang Inokom yang terletak di Kulim, Kedah pada masa akan datang.

Bagi pasaran tempatan, CX-30 hadir dengan pilihan enjin petrol dan diesel, ditawarkan dalam tiga varian berbeza. Untuk versi petrol, ia ditampilkan dengan enjin 2.0 liter NA, dibahagikan kepada dua varian iaitu 2.0 G SkyActiv-G 2WD dijual pada harga RM143,059 dan 2.0 G High SkyActiv-G 2WD berharga RM164,059. Bagi enjin diesel pula tampil dengan varian tunggal 1.8 D High SkyActiv-D 2WD yang dijual pada harga RM172,943.60. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

Mazda CX-30 dilancarkan di Malaysia – tiga varian CBU, ada AEB dan MRCC, harga dari RM143,059

Untuk versi petrol, ia dijanakan oleh enjin 2.0 liter SkyActiv-G dengan hamburan kuasa 163 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 213 Nm pada takat 4,000 rpm. Manakala bagi versi diesel, ia dipadankan dengan enjin 1.8 liter SkyAvtiv-D yang mampu menjana 116 PS pada takat 4,000 rpm dan tork maksima 270 Nm bermula 1,600 hingga 2,700 rpm.

Kedua-dua enjin ini dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan SkyActive-Drive dengan mod manual, memacu roda hadapan. Kelajuan maksimum bagi enjin 2.0 liter ialah 196 km/j, manakala 183 km/j bagi diesel 1.8 liter. Kesemua model mempunyai tangki minyak berkapasiti 51 liter, dengan anggaran penggunaan untuk enjin petrol 2.0 liter sekitar 6.4 liter per 100 km, dan 4.9 liter per 100 km bagi diesel 1.8 liter.

Berbanding CX-5 yang tampil sebagai SUV sebenar, CX-30 lebih kepada crossover bagi Mazda 3 hatchback dengan tayar lebih besar dan suspensi lebih tinggi. Ia mempunyai ukuran dimensi 4,395 mm panjang, 1,795 mm lebar, 1,540 mm tinggi dan jarak antara roda 2,655 mm. Untuk memudahkan anda bayangkan saiznya, dimensi bagi CX-3 adalah 4,275 mm panjang, 1,765 mm lebar, 1,535 mm tinggi, bersama jarak roda 2,570 mm, manakala CX-5 pula adalah 4,550 mm panjang, 1,840 mm lebar, 1,675 mm tinggi bersama jarak roda 2,700 mm.

Mazda CX-30 dilancarkan di Malaysia – tiga varian CBU, ada AEB dan MRCC, harga dari RM143,059

Masih mengekalkan bahasa rekaan Kodo, model asas 2.0 diberikan lampu hadapan LED, manakala versi 2.0 High dan 1.8D pula menerima lampu hadapan LED dengan pencahayaan signatur Mazda. Kesemua varian hadir standard dengan operasi dan larasan aras lampu hadapan automatik dan pengelap cermin automatik, tetapi hanya 2.0 High dan 1.8D diberikan lampu belakang LED dengan pencahayaan signatur.

Malah model asas 2.0 dipadankan dengan rim aloi 16-inci dengan tayar 215/65/R16, manakala model 2.0 High dan 1.8D diberikan rim aloi 18-inci dengan tayar 215/55R18.

Kedua-dua model tertinggi itu juga dilengkapi dengan sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin, pintu tailgate berkuasa serta sensor parkir hadapan dan belakang. Manakala ciri seperti cermin sisi berkuasa bersama lampu isyarat membelok, bumbung suria dan spoiler belakang merupakan ciri standard untuk semua varian.

Mazda CX-30 dilancarkan di Malaysia – tiga varian CBU, ada AEB dan MRCC, harga dari RM143,059

Menjengah bahagian kabinnya, model asas 2.0 hadir dengan sistem pendingin hawa dan tempat duduk hadapan larasan manual, berbanding 2.0 High dan 1.8D yang diberikan sistem kawalan suhu automatik dua-zon lengkap dengan corong dan kawalan berasingan di belakang, tempat duduk pemandu larasan berkuasa 10-hala dengan memori dan upholsteri kulit hitam.

Bagi sistem hiburan, kesemua varian diberikan sistem infotainmen Mazda Connect dengan skrin 8.8-inci, fungsi kawalan menggunakan suara, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, Bluetooth serta boleh dikawal dengan suis Commander Control. Bunyi dari sistem tersebut disalurkan kepada lapan pembesar suara, dan skrin utama turut memaparkan imej dari kamera undur lengkap dengan garisan panduan.

Bagi aspek keselamatan, CX-30 ini dilengkapi dengan 7 beg udara (hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu), brek dengan sistem ABS, EBD dan BA, kawalan kestabilan elektronik, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, isyarat berhenti kecemasan, brek parkir elektronik dengan auto hold dan kunci pintu automatik dan amaran pemakaian tali pinggang keledar untuk setiap tempat duduk dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX. Kesemua ciri tersebut adalah standard untuk ketiga-tiga varian.

Walau bagaimana pun, varian 2.0 High dan 1.8D didatangkan dengan ciri keselamatan tambahan termasuk lampu hadapan adaptif, kawalan lampu tinggi, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran perhatian pemandu, brek kecemasan autonomous (AEB) dan cruise control adaptif kawalan radar Mazda (MRCC).

Barisan Mazda CX-30 ini ditawarkan dengan lapan pilihan warna iaitu Soul Red Crystal, Machine Gray, Snowflake White Pearl, Deep Crystal Blue, Sonic Silver, Polymetal Gray, Titanium Flash dan Jet Black. Setiap pembelian akan dilindungi dengan waranti pengeluar selama lima-tahun/100,000 km dan juga pakej penyelenggaraan percuma selama lima-tahun.

Untuk perincian lanjut mengenai spesifikasi barisan Mazda CX-30, sila layari CarBase.my.

GALERI: Mazda CX-30 2.0L Skyactiv-G

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required