Mazda CX-30 – sudah mula boleh ditempah; bermula RM143k untuk 2.0L petrol, RM173k bagi 1.8L diesel

Mazda CX-30 – sudah mula boleh ditempah; bermula RM143k untuk 2.0L petrol, RM173k bagi 1.8L diesel

Crossover yang diasaskan Mazda 3, iaitu CX-30 telah disahkan bakal masuk ke pasaran Malaysia. Bukan itu sahaja, model yang diletakkan satu aras dari CX-3 dan satu tangga bawah CX-5 tersebut kini sudah boleh ditempah, dan harganya juga turut telah diumumkan oleh Bermaz Motor.

Untuk pasaran tempatan, CX-30 hadir dengan enjin petrol dan diesel, ditawarkan dalam tiga varian berbeza. Untuk model petrol, ia hadir dengan enjin 2.0 liter NA, dibahagikan kepada dua varian iaitu 2.0 dijual pada harga RM143,119 dan 2.0 High berharga RM164,119. Model diesel pula tampil dengan varian tunggal 1.8D dijual pada harga RM173,027. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

Bagi model petrol, ia digerakkan dengan enjin 2.0 liter SkyActiv-G yang menjana 163 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 213 Nm pada takat 4,000 rpm. Manakala bagi versi diesel, ia menerima enjin SkyAvtiv-D berkapasiti 1,759 cc yang mampu menjana 116 PS pada takat 4,000 rpm dan tork maksima 270 Nm bermula 1,600 hingga 2,700 rpm.

Senarai harga Mazda CX-30 untuk Semenanjung Malaysia (kiri) serta Sabah dan Sarawak (kanan), klik untuk besarkan

Kedua-dua enjin ini dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan SkyActive-Drive dengan mod manual, memacu roda hadapan. Kesemua model juga dibekalkan dengan tangki minyak 51 liter. Model asas 2.0 akan menerima rim 16-inci dengan tayar 215/65/R16, manakala model 2.0 High dan 1.8D diberikan rim 18-inci dengan tayar 215/55R18.

Berbanding CX-5 yang tampil sebagai SUV sebenar, CX-30 lebih kepada crossover Mazda 3 hatchback dengan tayar lebih besar dan suspensi lebih tinggi. Ia mempunyai ukuran dimensi 4,395 mm panjang, 1,795 mm lebar, 1,540 mm tinggi dan jarak antara roda 2,655 mm. Untuk memudahkan anda bayangkan saiznya, dimensi bagi CX-3 adalah 4,275 mm panjang, 1,765 mm lebar, 1,535 mm tinggi, bersama jarak roda 2,570 mm, manakala CX-5 pula adalah 4,550 mm panjang, 1,840 mm lebar, 1,675 mm tinggi bersama jarak roda 2,700 mm.

Model asas 2.0 pasaran Malaysia ini diberikan lampu hadapan LED, manakala versi 2.0 High dan 1.8D pula menerima lampu hadapan LED dengan pencahayaan signatur Mazda. Kesemua varian hadir standard dengan operasi dan larasan aras lampu hadapan automatik dan pengelap cermin automatik, tetapi hanya 2.0 High dan 1.8D diberikan lampu belakang LED dengan pencahayaan signatur.

Mazda CX-30 – sudah mula boleh ditempah; bermula RM143k untuk 2.0L petrol, RM173k bagi 1.8L diesel

Kedua-dua model tertinggi itu juga dilengkapi dengan sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin, pintu tailgate berkuasa serta penderia parkir hadapan dan belakang. Manakala ciri seperti cermin sisi berkuasa bersama lampu isyarat membelok, bumbung suria dan spoiler belakang dibekalkan standard untuk semua varian.

Pada bahagian dalaman pula, model asas 2.0 hadir dengan sistem pendingin hawa dan tempat duduk hadapan larasan manual, berbanding 2.0 High dan 1.8D yang diberikan sistem automatik dua zon lengkap dengan corong dan kawalan berasingan di belakang, tempat duduk pemandu larasan berkuasa 10-hala dengan memori dan upholsteri kulit hitam.

Bagi sistem hiburan, kesemua varian diberikan sistem infotainmen Mazda Connect dengan skrin 8.8-inci, fungsi kawalan menggunakan suara, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, Bluetooth serta boleh dikawal dengan suis Commander Control. Bunyi dari sistem tersebut disalurkan kepada lapan pembesar suara, dan skrin utama turut memaparkan imej dari kamera undur lengkap dengan garisan panduan.

Mazda CX-30 – sudah mula boleh ditempah; bermula RM143k untuk 2.0L petrol, RM173k bagi 1.8L diesel

Kelengkapan keselamatan juga adalah standard untuk semua varian, terdiri dari beg udara hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu, brek dengan sistem ABS, EBD dan BA, kawalan kestabilan elektronik, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, isyarat berhenti kecemasan, brek parkir elektronik dengan auto hold dan kunci pintu automatik dan amaran pemakaian tali pinggang keledar untuk setiap tempat duduk dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

Khas untuk model 2.0 High dan 1.8D, ia turut hadir dengan ciri keselematan tambahan iaitu lampu hadapan adaptif, kawalan lampu tinggi, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran perhatian pemandu, brek kecemasan automatik dan cruise control adaptif kawalan radar.

Lapan warna ditawarkan untuk CX-30 ini iaitu Soul Red Crystal, Machine Gray, Snowflake White Pearl, Deep Crystal Blue, Sonic Silver, Polymetal Gray, Titanium Flash dan Jet Black. Setiap pembelian akan dilindungi dengan waranti pengeluar selama lima-tahun/100,000 km dan juga pakej penyelenggaraan percuma selama lima-tahun.

Menurut Bermaz, versi awalan ini adalah diimport sepenuhnya dari Jepun, dan mereka merancangkan untuk memproduksi CX-30 ini secara pemasangan tempatan (CKD) di kilang Inokom yang terletak di Kulim, Kedah pada masa akan datang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required