SUV Mazda CX-30 akan dilancarkan di Eropah tidak lama lagi. Bersekali dengan sesi pandu uji media di sana, Mazda telah mengeluarkan senarai spesifikasi awal dan galeri penuh bagi SUV kompak berkenaan, yang akan mengisi slot penawaran antara CX-3 dan CX-5 selepas ini.

Senang cerita, ini model crossover bagi Mazda 3 hatchback, dan akan ditawarkan dengan enjin 2.0L SkyActiv-G NA empat-silinder. Ia menjana sebanyak 122 PS pada 6,000 rpm dan 213 Nm tork pada 4,000 rpm dengan kadar penggunaan minyak antara 6.2 dan 7.3 liter bagi setiap 100 km menurut bacaan gabungan kitaran WLTP.

Ini dicapai melalui ciri seakan nyah-aktif silinder dan sistem Mazda M Hybrid yang merupakan sistem mild-hybrid 24-volt. SUV ini turut ditawarkan dengan enjin 1.8L SkyActiv-D yang menghasilkan 116 PS pada 4,000 rpm dan 270 Nm dari 1,600 hingga 2,600 rpm. Unit ini mampu berikan bacaan penggunaan minyak dari 5.1 dan 6.1 liter bagi setiap 100 km.

Mazda CX-30 ini juga akan menerima enjin SkyActiv-X petrol untuk pasaran di sana. Tiada perincian lanjut tentang enjin ini didedahkan setakat ini, tetapi unit sama pada Mazda 3 menghasilkan 180 PS pada 6,000 rpm dan 224 Nm pada 3,000 rpm. Ia juga memanfaatkan sistem Mazda M Hybrid.

Semua pilihan enjin ini digandingkan bersama antara kotak gear manual atau automatik enam-kelajuan, bersekali dengan pilihan sistem pacuan semua roda i-Activ yang diperkemas untuk menjadi lebih cekap serta sistem G-Vectoring Control (GVC). CX-30 juga menggunakan platform SkyActiv-Vehicle Architecture – badan yang dibangun menggunakan kerangka lurus dan struktur gelung bersambung.

Semua ini, termasuk penggunaan keluli berketahanan tinggi memberikan kadar 1,310 MPa, membolehkan struktur yang ringan tetapi sangat tahan digunakan untuk bahagian badan kenderaan. Suspensi pula menggunakan “McPherson Strut” di depan dan “torsion beam” di belakang.

Mazda CX-30 mempunyai ukuran dimensi seperti berikut; 4,395 mm panjang, 1,795 mm lebar, 1,540 mm tinggi dan jarak antara roda 2,655 mm. Dibandingkan dengan dimensi bagi CX-3 (4,275 mm panjang, 1,765 mm lebar, 1,535 mm tinggi, 2,570 mm bagi jarak roda) and CX-5 (4,550 mm panjang, 1,840 mm lebar, 1,675 mm tinggi, 2,700 mm untuk jarak roda).

Dari sudut rekaan luaran, CX-30 memiliki penampilan yang tersendiri, bukan sekadar sebuah Mazda 3 yang ditinggikan kedudukannya dari tanah. Perkara ini antaranya boleh dilihat pada rekaan lampu utama yang tirusnya (dengan lampu isyarat nyalaan berturutan) serta rekaan gril yang diwarisi dari Mazda 3. Tetapi ada ciri lain yang unik bagi CX-30, misalnya tiang-C yang lebih nipis serta rekaan lampu belakang yang berbeza.

Ruang dalaman pula banyak mengekalkan rekaan apa yang kita lihat ada pada Mazda 3. Sedikit berlainan mungkin ialah panel atas papan pemuka yang menempatkan skrin 8.8-inci, yang tetap disambung pada sistem infotainmen Mazda Connect. Ia menggunakan sistem audio Bose 12-pembesar suara, hadir dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Kapasiti but untuk membawa barangan ialah 430 liter.

Dari segi keselamatan, CX-30 ini dilengkapi dengan tujuh beg-udara, serta bantuan pemandu seperti AEB, kawalan meluncur adaptif, bantuan mengekalkan lorong, tinjauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan beberapa ciri yang turut ditawarkan sebagai pilihan untuk pasaran Eropah. Nak model ini untuk pasaran Malaysia?