Sebagai membuka penawaran terbaru bagi tahun 2020, Hong Leong Yamaha memperkenalkan skuter Yamaha XMax 2020 dengan tiga warna baru – putih, kelabu dan biru – serta dijual pada harga RM21,500 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Skuter automatik ini menggunakan enjin silinder-tunggal 250 cc empat-lejang yang menghasilkan 22.5 hp pada 7,000 rpm dan 24.3 Nm tork pada 5,500 rpm. Bahan api disampaikan melalui sistem suntikan minyak EFI, dengan enjin Blue Core Yamaha yang memberikan lebih penjimatan.

Kuasa disalurkan menggunakan sistem transmisi CVT tali sawat. Rim depan menggunakan saiz 15-inci dengan tayar bersaiz 120/70, sementara di belakang dengan rim 14-inci serta tayar bersaiz 140/70.
Kapasiti tangki minyak yang digunakan ialah 13.2 liter yang terletak di bawah tempat duduk (yang turut menyediakan ruang luas untuk membawa barangan).

Antara ciri standard lain termasuk operasi tanpa kunci, slot pengecas 12-volt, ciri ABS serta kawalan cengkaman. Sistem pencahayaan pula mengggunakan teknologi LED, manakala satu paparan LCD turut tersedia pada kokpit, diapit oleh dua meter analog untuk memamarkan maklumat tunggangan.