TAS2020: Kebangkitan semula Nissan Skyline V37 empat-pintu 400R dalam arena modifikasi JDM

TAS2020: Kebangkitan semula Nissan Skyline V37 empat-pintu 400R dalam arena modifikasi JDM

Nissan Skyline sering dikaitkan dengan badan coupe dua-pintu. Tetapi kerana nama ‘Skyline’ itu sendiri sentiasa berkait rapat dengan GT-R, mungkin ada yang tidak mengetahui bahawa Skyline juga wujud dalam bentuk sedan empat pintu.

Namun sebenarnya asal-usul Skyline sememangnya bermula dari model sedan empat-pintu. Malah versi pertama GT-R untuk casis Hakosuka C10 juga sebenarnya bermula dari badan empat pintu pada tahun 1969, manakala versi coupe KPGC10 GT-R pula hanya muncul dua tahun selepas itu.

Secara keseluruhan, hanya dua generasi Skyline ditawarkan dengan versi GT-R empat pintu iaitu C10 dan R33 (Autech Version). Untuk generasi lain, walaupun tidak hadir dalam bentuk GT-R, ia masih datang dengan enjin yang agak sporty misalnya untuk generasi R32, R33, R34 ditawarkan dengan enjin dari siri RB enam-silinder.

TAS2020: Kebangkitan semula Nissan Skyline V37 empat-pintu 400R dalam arena modifikasi JDM

Walau bagaimanapun, selepas dari model R34, Nissan telah memisahkan Skyline dan GT-R bagi membolehkan R35 GT-R tampil sebagai kereta sport sebenar, berbanding sebuah model yang diasaskan dari sebuah sedan keluarga seperti model-model sebelumnya.

Strategi ini membuatkan nama Skyline itu sendiri agak tenggelam kerana model-model V35, V36 dan V37 dijual di luar Jepun dengan jenama mewah mereka iaitu Infiniti – Nissan Skyline V37 ini sendiri dikenali dengan nama Infiniti Q50 di Malaysia, menyebabkan ramai yang tidak sedar bahawa kita boleh membeli sebuah Skyline yang diedarkan sendiri oleh Tan Chong Motor.

Tetapi tahun lalu, Nissan seakan mahu mendekatkan kembali jurang antara Skyline dan GT-R dengan memperkenalkan V37 facelift dengan muka seakan R35, menjadikan ia seolah-olah “GT-R empat pintu”. Model ini juga hadir dengan pilihan varian paling berkuasa Skyline 400R yang dijana oleh VR30DDTT 3.0 liter V6 dengan dua pengecas turbo, menghasilkan kuasa 405 PS/400 Nm dalam keadaan standard, yang nampaknya menggantikan tempat ER34 GT-T empat-pintu.

Blitz Skyline V37 400R

Tahun lalu ketika berkunjung ke Tokyo Auto Salon 2019, rasanya tiada sebuah pun Skyline V37 yang kelihatan. Tetapi dengan muka baharu pada V37 facelift ini, penala-penala Jepun mula membawa kembali Skyline ke persada modifikasi, dan buktinya mungkin ada lebih kurang 10 buah 400R kami temui di Tokyo Auto Salon 2020 minggu lalu. Gambar-gambar yang kami sajikan ini antara unit yang sempat kami rakamkan imejnya.

Blitz, antara penala yang begitu popular dengan Skyline GT-T ER34 empat-pintu satu ketika dahulu, terutamanya jentera drift yang dihasilkan untuk Nomura Ken. Di TAS 2020, Blitz hadir dengan V37 400R versi mereka – ia bukan sahaja tampil dengan kit badan Aero Speed dan rim 20-inci yang begitu sporty, malah ia turut diberikan sistem kemasukan udara Carbon Power dan juga sistem ekzos Nur-Spec Carbon Black yang dihasilkan khas untuk Skyline empat-pintu ini.

Dah tengok 400R sentuhan Nissan sendiri yang digelar 400R Sprint Concept yang kami naikkan artikelnya tempoh hari? Nissan sebenarnya membawa dua unit V37 ke TAS 2020 ini, dan sebuah lagi digelar sebagai Deluxe Advance Concept yang dihasilkan dari varian hibrid GT Type SP, dikuasakan oleh janakuasa hibrid terdiri dari VR35HR 3.5 liter V6 tanpa pengecas turbo, digandingkan bersama motor elektrik HM34 berkuasa 68 PS/290 Nm, bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 306 PS dan tork maksima 350 Nm.

Berbanding 400R Sprint Concept yang agresif sesuai dengan kuasanya, Deluxe Advance ini menampilkan rupa yang lebih mewah. Ia hanya diberikan kit badan ringkas terdiri dari spoiler bawah pada bampar hadapan dan belakang serta skirt sisi, kemudian diserikan dengan warna badan dua tona putih dan gangsa matte. Rupa luarannya dilengkapkan dengan pemadanan rim dua-tona 20-inci, bersama tayar Michelin Pilot Sport 4 245/35R20.

Di dalam, kabin Skyline Deluxe Advance ini masih nampak standard, tetapi menerima balutan upholsteri istimewa tan-putih pada roda stereng, gaiter tuil penukar gear, panel pintu, karpet kaki, perehat tangan dan sebagainya. Manakala pada tempat duduk, selain dari tema balutan yang sama, ia juga diberikan jahitan corak quilt.

Pembuat kit badan perlumbaan, Varis turut tidak ketinggalan untuk menunjukkan seni mereka menerusi badan Skyline empat-pintu ini. Mereka membawakan kit badan Magnum Opus, iaitu siri yang turut dihasilkan untuk Nissan GT-R R35. Selain dari set-set spilter udara di sekeliling kereta, Varis turut memberikan bonet hadapan dengan liang udara yang cukup menyerlah pada Magnum Opus V37 ini.

Skyline V37 terakhir yang menarik perhatian kami di TAS2020 ini adalah hasil rekaan Busou. Nama penala ini agak kurang dikenali di Malaysia, tetapi Busou agak aktif menghasilkan pelbagai produk aftermarket untuk jenama Nissan dalam pasaran Jepun.

400R dari Busou ini hadir dengan rekaan diffuser belakang yang cukup agresif, menampilkan rekaan splitter tambahan di bawahnya yang kelihatan seperti sayap. Manakala jalur merah pada spoiler hadapan bukanlah pelekat, tetapi sebenarnya jalur lampu LED. Dua buah V37 di bawa oleh Busou ke TAS 2020, yang berwarna putih nampak lebih sporty dengan rim Volks Racing TE37, manakala yang berwarna hitam nampak lebih mewah dengan rim pelbagai jejari.

Sekarang macam mana? Ada yang dah gatal nak tengok harga V37 recond ni berapa?

GALERI: Nissan Skyline V37 400R Sprint Concept

GALERI: Nissan Skyline V37 Hybrid GT Type SP Deluxe Advance Concept

GALERI: Nissan Skyline V37 400R Busou

GALERI: Nissan Skyline V37 400R Varis Magnum Opus

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required