TAS2020: Nissan Skyline V37 400R Sprint Concept – rupa lebih agresif, kuasa kekal 405 PS dan 400 Nm

TAS2020: Nissan Skyline V37 400R Sprint Concept – rupa lebih agresif, kuasa kekal 405 PS dan 400 Nm

Tahun sebelum ini, rasanya tiada satu pun Nissan Skyline V37 sedan dipamerkan oleh mana-mana pihak ketika berlangsungnya Tokyo Auto Show (TAS) 2019. Tapi, pada Julai lalu Nissan telah memperkenalkan versi facelift V37 dengan muka baharu yang membuatkan ia seakan sebuah GT-R R35 empat-pintu, bagi menyambung legasi yang ditinggalkan oleh Skyline GT-T ER34 empat pintu.

Jadi tidak hairan, tahun ini saya rasa tak kurang dari 10-buah Skyline V37 facelift tersebut telah diubahsuai oleh pelbagai pihak dan di bawa ke Tokyo Auto Salon 2020. Salah satu daripadanya adalah ini – Nissan Skyline V37 400R Sprint Concept yang telah menerima sentuhan semula dari Nissan sendiri.

Seperti namanya, Sprint Concept ini dihasilkan dari varian tertinggi V37 iaitu Skyline 400R (tiada kaitan dengan Skyline GT-R R33 400R dulu ya!), yang dijana oleh enjin VR30DDTT 3.0 liter V6 dengan dua pengecas turbo, menghasilkan kuasa 405 PS dan tork maksima 400 Nm dalam keadaan standard.

TAS2020: Nissan Skyline V37 400R Sprint Concept – rupa lebih agresif, kuasa kekal 405 PS dan 400 Nm

Dah cukup powerkan? Jadi untuk versi konsep ini tiada pengubahsuai enjin dilakukan, Nissan hanya memberikan rupa yang jauh lebih garang pada Skyline 400R Sprint Concept tersebut. Pada bampar hadapan, kereta ini diberikan liang udara sisi yang jauh lebih besar dan berotot, bersama splitter udara yang lebar dibawahnya. Kemudian sepasang liang udara diberikan pada bonet hadapan, membuatkan ia lebih mirip kepada R35 GT-R.

Aliran udara dari splitter hadapan nampak seperti berterusan pada sirip yang dihasilkan pada bahagian skirt sisi, dan kemudian berakhir dengan spilter dan liang udara sisi pada bampar belakang. Skyline ini juga diberikan diffuser yang sangat agresif yang turut menempatkan sepasang corong ekzos bulat bersaiz besar.

Lampu belakang dengan grafik dua bulat ikonik Skyline masih lagi kekal pada Sprint Concept ini. Manakala pada bahagian penutup but pula, sebuah spoiler ‘double wing‘ bersaiz besar diberikan. Bagi disesuaikan dengan kit badan yang jauh lebih ganas ini, satu set rim bersaiz 20-inci kemasan hitam matte dipadankan bersama tayar Michelin Pilot Sport 4.

Untuk bahagian luaran, Sprint Concept ini disudahkan dengan warna dua-tona – badan asas hadir dengan warna putih, manakala bahagian atas bermula dari bonet hadapan, bumbung dan but belakang, serta semua bahagian kit badan tambahan diberikan warna hitam matte.

Tidak ketinggalan jalur serlahan berwarna hijau pada gril hadapan, kesemua splitter udara, sekeliling rim, bonet hadapan dan juga spoiler belakang diberikan, bersama warna hijau yang sama pada semua angkup brek. Grafik dengan warna sama turut dilihat pada sisi badan dengan nombor ’20 2′, yang tidak diketahui apa maksudnya.

Pada bahagian kabin, boleh dikatakan semua komponen masih lagi nampak standard, kecuali tempat duduk hadapan yang telah diganti dengan sepasang tempat duduk bucket dari Recaro yang dibalut semula menggunakan warna sama dengan upholsteri lain.

Mungkin ramai lagi yang tidak tahu bahawa selepas dari model R34, Nissan telah memisahkan Skyline dan GT-R bagi membolehkan R35 GT-R tampil sebagai kereta sport sebenar, berbanding sebuah model yang diasaskan dari sebuah sedan keluarga seperti model-model sebelumnya.

Strategi ini membuatkan nama Skyline itu sendiri agak tenggelam kerana model-model V35, V36 dan V37 dijual di luar Jepun dengan jenama mewah mereka iaitu Infiniti – Nissan Skyline V37 ini sendiri dikenali dengan nama Infiniti Q50 di Malaysia, menyebabkan ramai yang tidak sedar bahawa kita boleh membeli sebuah Skyline yang diedarkan sendiri oleh Tan Chong Motor.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required