Kemarahan masyarakat terhadap kes kemalangan yang disebabkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol kian membara sejak kebelakangan ini. Apatah lagi sejak kebelakangan ini, media massa kerap melaporkan kes kemalangan angkara pemandu mabuk.

Antara terbaru, seorang penunggang motosikal maut akibat dilanggar oleh pemandu pikap trak yang dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol. Kejadian tersebut berlaku kelmarin di Klang, Selangor, turut mendapat perhatian Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Menerusi entri terbaharunya dalam laman Facebook rasminya, Loke berkata, Kementerian Pengangkutan memandang serius kejadian kemalangan yang melibatkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

“Proses untuk mengkaji semula peruntukan undang-undang sedia ada berkenaan kesalahan tersebut akan dibincangkan minggu depan. Kajian semula undang-undang berkenaan perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat pasca Kabinet Kementerian Pengangkutan nanti,” ujar Loke.

Pada ketika ini, Seksyen 41 Akta 333 telah memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang telah didapati bersalah menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau merbahaya hendaklah dihukum penjara untuk tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000.

Malah mereka yang disabitkan di bawah Seksyen 41 juga akan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang tiga tahun dan lima tahun bagi Seksyen 44.

Di bawah peruntukan Seksyen 44, mana-mana orang yang menyebabkan kematian atau kecederaan akibat berada di bawah pengaruh alkohol, apabila disabitkan, hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun, dan denda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000. Selain itu, lesen memandu pesalah dan yang sedang dalam proses pertuduhan juga, akan digantung berkuatkuasa dari tarikh pertuduhan dibacakan pertama kali.

Pada Mac 2019, isu ini juga pernah diperhujahkan di Dewan Rakyat, di mana Loke sendiri berkata, kementeriannya akan meneliti dan mengkaji cadangan untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 sedia ada. Tambah beliau lagi, langkah itu selaras cadangan meningkatkan hukuman terhadap pesalah jalan raya sehingga menyebabkan kematian, terutamanya yang memandu di bawah pengaruh alkohol. Walau bagaimana pun, sudah hampir setahun, masih tiada kata putus mengenainya.