Rancangan jadikan KL lebih mesra pejalan kaki – 10 jalan mungkin ditutup bagi kenderaan persendirian

Rancangan jadikan KL lebih mesra pejalan kaki – 10 jalan mungkin ditutup bagi kenderaan persendirian

Bagi mengurangkan jumlah kenderaan yang memasuki Kuala Lumpur, satu rancangan untuk menjadikan jalan-jalan utama di ibukota hanya untuk pejalan kaki sedang diusahakan. Sekurang-kurangnya 10 jalan di tengah KL sedang dinilai untuk tidak lagi boleh dilalui oleh kenderan persendirian menjelang 2025.

Kajian dan penilaian sedang dilakukan ketika ini, dengan jalan-jalan terlibat akan ditutup secara berperingkat dalam tempoh lima tahun akan datang, lapor New Straits Times. Lima jalan berkenaan dijangka akan ditutup bagi tempoh percubaan hujung tahun ini, termasuk Jalan Raja dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, penutupan jalan itu akan mengikut model penutupan sementara yang sama seperti yang pernah dilakukan terhadap Jalan Masjid India dan Jalan TAR sebelum ini. Percubaan yang terakhir berkenaan, yang ditamatkan tahun lalu, akan dimulakan sekali lagi dengan rancangan untuk menghubungkannya ke Jalan Raja sehingga ke persimbangan Leboh Pasar Besar.

Beliau menambah, beberapa laluan di Bangsar, Bukit Bintang dan Brickfields turut akan tutup oleh DBKL untuk menjadikan lokasi-lokasi terlibat lebih mesra pejalan kaki dan mengurangkan jejak kabon. Beliau menjelaskan, langkah ke arah ini adalah perlu kerana KL sekarang kerap mengalami kesesakan yang teruk.

Rancangan jadikan KL lebih mesra pejalan kaki – 10 jalan mungkin ditutup bagi kenderaan persendirian

“Kuala Lumpur mempunyai kepadatan warga sehingga tiga juta orang pada siang hari. Tidak termasuk mereka yang menggunakan pengangkutan awam dan berkongsi kereta, kita mempunyai tiga juta kereta yang berulang-alik menggunakan jalan dalam bandar, dan angka itu semakin meningkat,” jelas beliau.

Nor Hisham turut berkata, kesesakan teruk yang berlaku menyebabkan orang ramai enggan bertandang untuk bertandang ke kawasan sekitar, sekaligus memberi kesan kepada peniaga yang berjualan. Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut sama ada langkah itu nanti akan melibatkan penutupan sepenuhnya jalan yang terlibat, atau hanya sebahagian daripadanya. Begitu juga, betul diputuskan sama ada penutupan itu akan bersifat kekal atau hanya pada hari bekerja, atau gabungan kedua-duanya.

Ketika ditanya sama ada pengangkutan awam seperti teksi dan bas serta perkhidmatan e-hailing akan dibenarkan menggunakan jalan terlibat seperti yang dilakukan ketika tempoh percubaan di Jalan TAR, beliau menyatakan perkara tersebut akan dikaji terlebih dahulu sebelum diputuskan. Beliau menjelaskan, kempen kesedaran serta rundingan dan maklum balas bersama pihak-pihak berkepentingan juga sudah direncanakan.

Beliau juga menambah, langkah untuk menjadikan pusat bandar yang lebih mesra pejalan kaki merupakan sebahagian daripada perancangan besar DBKL, yang dijangka lengkap tahun ini. “Ini apa yang kami bayangkan untuk KL di masa hadapan. Langkah sama telah berjaya dilakukan di Singapura dan negara lain,” tambah beliau.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required