Minggu lalu, jenama automotif dari Australia, Holden disahkan bakal ditutup sepenuhnya oleh pemiliknya iaitu General Motors pada hujung tahun ini. Hal ini nampaknya menarik perhatian nama baharu dalam industri iaitu Vinfast yang berasal dari Vietnam untuk mengambil alih aset-aset Holden yang bakal ditinggalkan di Australia, menurut laporan carsales.com.au.

Disember lalu, Vinfast berpindah ke Port Melbourne bagi memulakan operasi mereka di Australia, dan lokasi tersebut sebenarnya adalah hampir dengan ibu pejabat Holden, serta mereka juga sebenarnya sudahpun menerima berberapa ratus orang bekas jurutera Holden untuk bekerja.

“Australia merupakan pasaran automobil yang membangun yang mempunyai pembekal dan kemahiran sedia ada yang VinFast mahukan. VinFast Engineering Australia adalah bertanggungjawab untuk pembangunan produk untuk model-model akan datang kami,” kata timbalan CEO VinFast, Jim DeLuca.

Jenama Vietnam berkenaan dilaporkan berminat untuk mengambil alih fasiliti rekaan dan kejuruteraan yang bakal ditutup oleh GM kerana penutupan Holden, termasuk pusat ujian Lang Lang. “Kami sekarang ini sedang berusaha bersama rakan perniagaan untuk membuat penggayaan kenderaan dan validasi. Kami berminat dengan mana-mana jenis intergrasi vertikal yang akan membuatkan kami lebih efisien dan perniagaan lebih efektif kos,” respon DeLuca.

Menurut laporan ini lagi, VinFast kini sudahpun mengambil bekas eksekutif-eksekutif Holden untuk bekerja, termasuk naib presiden pembuatan global, Shaun Calvert yang pernah bekerja di Holden dan GM antara 2001 hingga 2017.

Bekas staf senior Holden lain yang kini turut telah menyertai VinFast termasuk veteran Holden dan GM selama 25-tahun Kevin Yardley, dan ketua integrasi casis dan janakuasa Joe Sawyer yang telah berkhidmat di Holden selama 23-tahun. Dikhabarkan buat masa ini masih ada lagi 800 orang yang masih bekerja bersama Holden termasuk beratus orang staf kejuruteraan dan rekaan, jadi VinFast masih boleh mendapatkan lebih banyak tenaga mahir.

“Kami ada ramai rakan sekerja Australia di kilang kami di Vietnam yang telahpun menyertai kami sejak kami mulakan projek ini. Mereka merupakan bahagian yang penting dalam keluarga kami dan menyumbangkan kejayaan untuk syarikat kami,” kata DeLuca.

VinFast adalah sebahagian dari syarikat swasta terbesar di Vietnam iaitu Vingroup yang mempunyai aset mencecah US$35 bilion (RM148 bilion). Ia dimiliki oleh rakyat Vietnam dengan latar belakang pendidikan di Russia iaitu Pham Nhat Vuong, dan konglomerat ini turut terlibat dalam perniagaan hartanah, industri kesihatan, peruncitan dan juga taman tema.

VinFast mensasarkan untuk menjadi pengeluar kereta elektrik dan mempunyai misi bagi mengeksport kereta dengan teknologi tersebut ke Amerika Syarikat pada tahun 2021. Untuk projek ini, Vuong menanam modal sebanyak US$2 bilion (RM8.45 bilion) dari poketnya sendiri bagi mencapai sasaran tersebut.

“Sasaran utama kami adalah untuk menghasilkan jenama antarabangsa. Ia halatuju yang sangat susah dan kami perlu mencurahkan banyak usaha. Tetapi hanya ada satu jalan di hadapan,” kata Vuong pada Disember lalu.

“Kami mempunyai keinginan untuk menghasilkan jenama Vietnam yang mempunyai reputasi berkelas dunia. Cabaran terbesar kami adalah produk Vietnam tidak mempunyai jenama antarabangsa. Di mata ramai rakan antarabangsa, Vietnam masih negara yang miskin dan terkebelakang. Kami perlu mencari jalan untuk memasarkan dan membuktikan bahawa produk kami mewakili dinamik dan pembangunan Vietnam yang kini telah mencapai standard tertinggi di dunia,” tambahnya lagi.

Buat masa sekarang, VinFast mempunyai dua model premium iaitu sedan mewah LUX A2.0 dan SUV mewah LUX SA2.0 pada pasaran domestik mereka, masing-masing dihasilkan bersasaskan sedan BMW 5 Series F10 dan SUV BMW X5 F15, dan rekaannya menerima sentuhan firma dari Itali iaitu Pininfarina.

Selain model mewah ini, Vinfast turut menghasilkan hatchback kompak yang direbadge dari Chevrolet Spark, diberi nama VinFast Fadil.

GALERI: VinFast LUX A2.0

GALERI: VinFast LUX SA2.0

GALERI: VinFast Fadil