Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) yang menganjurkan siri jelajah di Central i-City baru-baru telah pun mempamerkan model pikap Triton VGT AT yang dilengkapi dengan beberapa aksesori menarik.

Menambahkan imej yang lebih rugged dan garang, aksesori ini termasuklah overfender balutan plastik hitam yang besar bersama palang sport menyerlah dengan cetakan perkataan “Triton” padanya. Sentuhan lebih maskulin turut diserlahkan dengan spoiler hadapan berwarna hitam dengan lip dari rona perak, disambungkan ke lampu nyalaan siang LED, cangkuk tunda merah menyala dan perkataan “Xtreamer” pada bahagian tengah (tanpa diketahui apakah maksudnya).

Selain itu, kelihatan pelindung bonet, hiasan lampu utama dan lampu belakang, juga pemegang pintu dan penutup tangki minyak yang mempunyai sentuhan ranggi. Keseluruhan imej pikap ini turut dilengkapi dengan roda aloi dua-tona XD Series 16-inci yang dibaluti tayar Dunlop Grandtrek AT20.

Aspek mekanikalnya pula, ia adalah varian VGT AT, dikuasakan oleh enjin 2.4 liter MIVEC VGT turbodiesel dengan output 181 PS dan tork 430 Nm. Dipadankan bersama kotak gear automatik enam-kelajuan dan sistem pacuan empat-roda Easy Select. Ciri lain termasuklah lampu utama halogen projektor, pemijak sisi, unit utama 2-DIN dengan USB dan auxiliary input, dua beg udara dan kawalan kestabilan.

Varian ini ditawarkan dengan harga atas jalan RM105,990 tanpa insurans, tidak termasuk kelengkapan aksesori yang dipamerkan ini. Adakah aksesori yang ditampilkan ini berupaya menambat hati anda, khususnya yang gemarkan gaya yang lasak dan ranggi?