Proton kongsi cara bersihkan kenderaan dari kuman

Proton kongsi cara bersihkan kenderaan dari kuman

Selepas mengeluarkan saranan bagaimana menjaga kenderaan yang tidak banyak bergerak semasa tempoh kawalan pergerakan, Proton kini menyiarkan pula cara bagaimana memastikan kenderaan anda sentiasa bersih seterusnya mengelakkan penyebaran kuman.

Walaupun ramai yang patuh kepada arahan kerajaan supaya tidak keluar dari rumah, masih ada individu yang perlu keluar untuk mendapatkan keperluan, tugasan rasmi atau keadaan kecemasan. Seperti yang sudah diketahui, cara terbaik untuk kita mengelakkan penularan virus ini adalah dengan memastikan diri sendiri sentiasa bersih, serta kerap mencuci tangan dan permukaan yang disentuh.

Proton memberi contoh, roda stereng, tombol gear, pemegang pintu (luar dan dalam), butang pemula enjin serta kunci adalah bahagian yang perlu sentiasa dibersihkan kerana ia selalu disentuh apabila memandu. Kajian telah menunjukkan, virus Covid-19 ini boleh hidup atas permukaan plastik dan stainless steel hingga tiga hari.

Sekiranya kereta anda mempunyai unit skrin sesentuh, ia juga perlu dibersihkan. Proton menyarankan penggunaan kain lembut yang telah disembur sedikit dengan cecair pembasmi kuman, tetapi jangan terlalu banyak. Perkara sama juga perlu dilakukan pada head unit biasa.

Untuk tempat duduk kulit, Proton mencadangkan penggunaan bahan pembersih khas yang bersesuaian, dan bukannya cecair pembersih kuman biasa kerana ia mempunyai bahan kimia yang boleh menjadikan kulit kering seterusnya lebih mudah merekah dan berubah warna. Untuk tempat duduk fabrik, anda boleh menggunakan penyembur antibakteria.

Anda pasti sudah tahu kita perlu membasuh tangan secara kerap dan kurangkan menyentuh muka, kalau boleh jangan sentuh langsung waktu di luar. Untuk ini, Proton mengingatkan pengguna sekiranya kenderaan mereka mempunyai ciri kawalan suara atau sensor ayun kaki untuk membuka but, gunakannya dengan lebih kerap.

Akhir sekali, Proton mengesyorkan anda untuk membersihkan bahagian dalam kenderaan dengan vakum supaya tiada kekotoran daripada luar atau serpihan makanan yang boleh menarik kuman. Pemilik kenderaan juga digalakkan melabur sedikit untuk mendapatkan pembersih udara (boleh disepadukan pada sistem pendingin hawa X70).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required