Toyota Harrier generasi baharu – imej bocor!

Toyota Harrier generasi ketiga masih lagi nampak segar di negara kita bukan? Model berkenaan masih boleh dibeli baharu di bilik pameran UMW Toyota disini dengan kemaskini terakhir dibuat pada tahun 2018. Namun sebenarnya model tersebut sudahpun berada lebih tujuh tahun dalam produksi, diperkenalkan di Jepun pada tahun 2013. Tentu model generasi baharu akan muncul tak lama lagi kan?

Nah, satu hantaran telah dibuat di Instagram, membocorkan video iklan Harrier generasi keempat berkenaan. Dari imej berkenaan, Toyota nampaknya masih mengekalkan imej Harrier sedia ada, dengan berberapa sentuhan baharu yang lebih tersendiri.

Model generasi baharu ini tampil dengan gril bampar hadapan lebih besar dengan liang udara sisi yang lebih agresif. Namun, ia masih diberikan gril atas bersama sepasang lampu hadapan LED tirus, dengan lampu nyalaan siang bersepadu di dalam dengan grafik seakan rekaan pada Avalon. Satu jalur krom merentangi muka SUV ini bagi membahagikan bahagian atas dan bampar.

Pada bahagian sisi, ‘otot-otot’ pada ruang roda Harrier baharu ini lebih jelas kelihatan, dihubungkan dengan garis sisi yang ternaik ke atas. Manakala bahagian sisi belakang kelihatan lebih sporty dengan tiang-D direka lebih tajam. Harrier generasi keempat ini nampaknya masih lagi hadir dengan lampu yang merentangi sepenuhnya bahagian belakang. Namun ia dihasilkan lebih nipis dan tajam sehinggakan lampu belakang utama nampak sedikit sama seperti Jaguar F-Pace.

Menurut laporan dari portal Jepun, Best Car, Harrier generasi keempat ini akan diperkenalkan di Jepun pada 17 Jun nanti. Seperti model-model baharu Toyota yang lain, Harrier turut diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA), atau untuk lebih spesifik SUV ini menggunakan TNGA dari varian K (GA-K) sama seperti Camry, RAV4 dan Avalon generasi terkini.

Harrier juga dikhabarkan akan tampil dengan saiz lebih besar dari sebelum ini, serta turut diberikan tempat duduk baris ketiga. Ciri lain yang dilaporkan turut diberikan pada Harrier termasuk sunroof jenis electrochromic yang boleh digelapkan (tidak perlu penutup tambahan), dan juga dashcam yang dibina bersepadu dengan cermin pandang belakang.

Untuk pilihan janakuasa, Harrier ini mungkin akan diberikan enjin Dynamic Force MA20A 2.0 liter dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasas 172 PS/203 Nm seperti pada RAV4. Ia juga tidak mustahil akan hadir dengan versi hibrid yang menggabungkan enjin 2.5 liter bersama dua motor elektrik berkuasa 211 PS seperti pada Camry Hybrid. Model dengan enjin 8AR-FTS 2.0 liter turbo seperti pada model facelift sedia ada mungkin tidak lagi ditawarkan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required