Selepas lebih 11 tahun menggunakan khidmat Datuk Razlan Razali sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO), Sepang International Circuit (SIC) hari ini mengumumkan jawatan tersebut telah diserahkan kepada Azhan Shafriman Hanif. Selepas ini, Razlan akan menumpukan sepenuh masa sebagai ketua pasukan Petronas Sepang Racing Team dalam perlumbaan MotoGP.
Shafriman mempunyai latar belakang sebagai jurutera mekanikal, pernah berkhidmat untuk Petronas selama 13 tahun dan jawatan terakhir beliau sebelum ini adalah ketua kerjasama strategik bahagian jenama Petronas. Beliau juga sudah biasa dengan selok belok sukan permotoran antarabangsa.
Untuk tempoh masa awal ini, Shafriman meletakkan sasaran untuk mengatasi kekurangan perniagaan SIC bersama pasukan, serta membuat strategi masa hadapan semasa ekonomi berhadapan kesukaran sekarang. Untuk tempoh masa yang lebih panjang pula, beliau mensasarkan kecemerlangan operasi, pengurusan serta kawalan proses, dengan usaha lestari dan kerjasama baru.
Sebagai CEO juga, Shafriman akan meneruskan pelan utama SIC yang pernah dibentangkan pada tahun 2014, untuk menjadikan litar ini sebagai hab sukan, hiburan dan pembelajaran canggih di Asia. Sekitar 60% inisiatif pembangunan yang diperincikan dalam pelan itu telah dilaksana dan ia akan disambung lagi dengan pembangunan seperti pusat pengalaman pemanduan, litar offroad, litar drag, hotel dan taman tema.
“Mengetuai pasukan SIC sebelum ini adalah satu perjalanan yang menakjubkan. Apa yang telah kami capai sebelum ini ternyata adalah satu usaha berpasukan – ia tidak akan berjaya tanpa sokongan penuh dan komitmen bukan sahaja pasukan di SIC, tetapi juga daripada rakan kongsi dan pemegang saham. Meskipun saya masih lagi merupakan ketua pasukan Petronas Racing Team, saya tentunya akan merindui bekerjasama dengan pasukan SIC. Saya ucapkan selamat berjaya kepada mereka dan CEO baru,” kata Razlan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.