Mclaren telah mengeluarkan notis panggilan semula terhadap 2,763 kereta yang dijual di pasaran Amerika Syarikat, kerana telah dikesan mempunyai masalah yang boleh menyebabkan kebakaran. Model-model tersebut terdiri dari Mclaren 570GT, GT, 720S dan Senna yang dibuat dari tahun 2016 hingga 2020.

Panggilan semula ini akan dimulakan di Amerika Syarikat dan kemudian akan diikuti pasaran lain di seluruh dunia. Setakat ini dua insiden telah disahkan berlaku pada peringkat global – sebuah 570GT di Latvia dan sebuah 570GT di UK.

Menurut Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Kebangsaan Amerika Syarikat (NHTSA), masalah ini berpunca daripada pad busa penebat bunyi dan getaran yang terletak di bawah tangki bahan api yang memerangkap wap air, dan akhirnya menyebabkan karat dan kebocoran pada tangki tersebut.

NTHSA telah mengesahkan bahawa sejumlah 2,008 unit 720S, 373 unit 570GT, 225 unit GT dan 157 unit Senna di Amerika yang terjejas kerana masalah ini akan dipanggil semula.

“Walaupun bahagian yang terjejas berada pada kawasan ‘sejuk’ kereta tersebut, dan jauh dari sebarang kawasan yang boleh terbakar atau eksoterma (seperti ekzos atau tren kuasa), jika keadaan tersebut tidak dibaiki, bahan api mungkin akan bocor ke bahagian bawah kenderaan, dan akan meningkatkan risiko kebakaran,” tulis NHTSA dalam dokumen panggilan semula berkenaan.

Menurut McLaren pula, untuk model 570GT, 720S dan Senna, mereka akan membuka semula pad busa penebat tangki bahan api itu dan memeriksanya semula. Jika bermasalah, ia akan ditukar tanpa sebarang bayaran. Manakala untuk model GT, Mclaren masih mencari jalan bagaimana untuk memperbaiki masalah tersebut.

Pembuat hypercar dari UK ini turut menyatakan bahawa model-model McLaren yang tidak disertakan dengan pilihan pad busa penebat tersebut tidak terlibat dengan panggilan semula ini.