Memberi respon berkenaan kejadian pemandu mabuk yang menyebabkan seorang anggota polis yang bertugas dalam sekatan jalan raya di Kajang awal pagi semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berharap pemandu kenderaan yang tidak menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya sehingga menyebabkan kematian dikenakan hukuman maksimum, lapor Bernama.

Menurutnya hukuman itu adalah sebagai pengajaran kepada semua pihak agar perkara seperti itu tidak berulang. “Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua pergerakan dihadkan. Namun, ada lagi yang sempat mengambil minuman keras dan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kemalangan maut. Itu adalah jelas satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Hospital Serdang, semalam.

Beliau meluangkan masa hampir satu jam di Jabatan Perubatan Forensik hospital itu bagi menziarah jenazah anggota polis yang maut dalam kemalangan di sekatan jalan raya yang berlaku berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) pada awal pagi Ahad lalu.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 2 pagi itu, di mana Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan selepas dihempap kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu seorang lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol.

“Saya rasa sedih apabila pada awal pagi tadi dikejutkan dengan berita berlaku kemalangan ini yang tidak sepatutnya berlaku dan anggap ini sebagai takdir.

“Saya juga difahamkan arwah yang mempunyai sembilan adik beradik ialah seorang pendiam. Ada antara ahli keluarga arwah bekerja sebagai polis iaitu bapanya yang juga bekas komander VAT69 di Ulu Kinta, Perak dan sudah tiga tahun bersara,” katanya yang pilu dengan insiden tersebut.

Mengikut Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan 1987, individu yang didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk dan secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000.