Kereta elektrik mikro China – saiz kecil, industri besar!

Kereta elektrik mikro China – saiz kecil, industri besar!

Seminggu kebelakangan ini, kecoh di media sosial berkenaan satu model kereta elektrik sepenuhnya yang sangat kecil diberi nama Mini EV X2 yang dikatakan bakal masuk ke pasaran Malaysia dengan harga yang begitu murah iaitu hanya RM13.8k. Ternyata menerusi pemerhatian yang kami buat, juga pengesahan dari pihak polis, ia sebenarnya adalah sindiket penipuan.

Penipuan yang kami maksudkan adalah dari pihak yang kononnya akan membawa masuk kereta tersebut, manakala kereta berkenaan pula sebenarnya memang benar-benar wujud di China, dihasilkan oleh Zhejiang Today Sunshine New Energy Vehicle Industry dan diberi nama Mine M1.

Untuk pengetahuan anda, Mine M1 ini bukan satu-satunya kereta elektrik mikro di China. Ia hanya salah satu model dari beratus-ratus (mungkin ribu-ribu!) model kereta elektrik kecil yang dijual di sana!

Kereta-kereta ini dikelaskan sebagai Kereta Elektrik Kelajuan Rendah (LSEV) di China, dihasilkan lebih kecil dari segmen K-Car di Jepun, dan hampir sama dengan saiz ‘bubble car’ seperti BMW Isetta dan Messerschmitt KR175 yang dihasilkan di Eropah selepas perang dunia kedua dahulu.

Namun walaupun ia bersaiz sangat kecil iaitu sekitar satu pertiga dari saiz kereta biasa, LSEV adalah satu industri yang sangat besar di China dan ia hadir dalam pelbagai bentuk termasuk SUV dan trak pikap – menurut laporan Wall Street Jurnal, ia dijual sebanyak 1.75 juta unit pada tahun 2017!

Selain dari saiznya yang kecil, LSEV yang dihasilkan dengan teknologi yang cukup ringkas membolehkan ia dijual dengan harga yang cukup murah iaitu sekitar RM15k. Ia digerakkan dengan motor elektrik berkuasa rendah; ada yang dibekalkan dengan bateri lithium ion, dan ada juga hanya dijana oleh bateri lima hingga enam unit bateri asid plumbum 12V iaitu bateri sama seakan kereta-kereta elektrik kanak-kanak yang boleh anda beli di kedai-kedai mainan sekitar Chow Kit, KL.

Kereta elektrik mikro China – saiz kecil, industri besar!

Jadi, anda tidak perlu mengecasnya dengan wallbox yang canggih, cukup sekadar menggunakan plag domestik 220V di rumah. Seperti namanya, kereta-kereta LSEV ini biasanya boleh bergerak dengan kelajuan maksimum sekitar 50 hingga 75 km/j, dan ia boleh dipandu di China tanpa memerlukan sebarang lesen.

Jelas, dengan spesifikasi yang ditawarkan iaitu seakan kereta mainan, memang agak mustahil untuk kereta ini lepas ujian Vehicle Type Approval (VTA) yang disyaratkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia bagi membolehkan ia didaftarkan dan dilindungi oleh insuran.

Jadi selain Mini EV X2 tersebut, kereta LSEV apa lagi yang boleh anda beli di China? Berikut kami senaraikan hanya sebahagian kecil kereta-kereta elektrik mikro berkenaan.

Jiayuan City Spirit Eidola

Kereta elektrik mikro China – saiz kecil, industri besar!

Kereta ini direka dengan muka seakan mengambil inspirasi dari SUV keluaran Jeep. Ia dihasilkan dengan dimensi 2,245 mm panjang, 1,290 mm lebar, 1,570 mm tinggi dan jarak roda sejauh 1,500 mm. Ia ini dihasilkan dalam dua varian kuasa iaitu kelajuan rendah dan kelajuan tinggi, namun kedua-duanya memacu roda belakang.

Untuk model kelajuan rendah, ia digerakkan dengan sebuah motor berkuasa 3 kW (4 hp) manakala kelajuan tinggi pula menggunakan motor berkuasa 7.5 kW (10 hp). Kelajuan maksima yang boleh dicatatkan adalah 75 km/j.

Ia hanya dibekalkan dengan bateri asid plumbum 12V yang memerlukan satu cas penuh dicapai dalam masa sekitar enam hingga lapan jam menggunakan plag domestik biasa 220V, dan memberikan jarak gerak sekitar 120 km.

City Spirit Eidola hadir dengan kelengkapan seperti lampu nyalaan siang LED, bumbung panaromik, pintu tailgate belakang bantuan kuasa serta skrin infotaimen yang lengkap dengan hubungan Bluetooth, sistem navigasi dan paparan kamera undur.

Gongyi Hongsheng siri HS400

Kereta elektrik mikro China – saiz kecil, industri besar!

Gongyi Hongsheng menghasilkan model siri HS400 ini dalam pelbagai varian dengan pelbagai rupa, tetapi menggunakan asas dan janakuasa yang sama. Misalnya HS400L tampil dengan rupa seakan Nissan Cube, HS400D dengan muka seperti Ford F-150, HS400G diberikan muka seiras Chevrolet Silverado, manakala HS400B seakan mahu meniru Nissan Dayz.

Kesemua versi HS400 diberikan empat tempat duduk yang didakwa boleh memuatkan enam-orang. Ia diberikan motor elektrtik berkuasa 1.5 kW (2 hp) dengan bateri 60V100AH, membolehkan ia mencapai kelajuan maksima 45 km/j. Satu cas penuh memerlukan masa mengecaj selama enam hingga lapan jam, bagi membolehkan ia bergerak sejauh 120 km.

Selain itu, HS400 turut diberikan kelengkapan seperti skrin pemain utama, tempat duduk balutan kulit, gear mendaki, lampu hadapan dan belakang LED serta kamera undur.

Shandong Fengde

Kereta elektrik mikro China – saiz kecil, industri besar!

Jenama ini agak unik, kerana produk-produk mereka memang semuanya dihasilkan sebagai replika kereta-kereta premium dari SUV sehingga supercar. Seperti yang anda boleh lihat pada gambar-gambar dari Carscoops di bawah, Shandong Fengde menghasilkan klon comel untuk Mercedes GLE, Range Rover Evoque, Bugatti Chiron, Lamborghini Murcielago dan Audi R8!

Model-model dari Shandong Fengde ini turut menerima ciri seperti bumbung suria, rel bumbung, lampu halogen, kluster instrumen digital, sistem infotaimen dengan skrin sesentuh dan juga penghawa dingin.

Ia digerakkan dengan motor elektrik 4 kW, 73V, manakala baterinya pula perlu dicas selama enam hingga lapan jam untuk penuh. Untuk itu, model-model Shandong Fengde berkenaan mampu bergerak sejauh 120 km untuk satu cas penuh, dengan kelajuan maksima dicatatkan pada 50 km/j.

FengQi F1

Kereta elektrik mikro China – saiz kecil, industri besar!

Berbanding model-model LSEV lain yang tersenarai di atas, FengQi F1 ini agak unik kerana ia mempunyai konfigurasi tiga-tempat duduk iaitu pemandu di tengah, dan dua tempat duduk penumpang berada di belakang. Agaknya nama ‘F1’ ini diberi mungkin sebab susunan tempat duduk tersebut seperti McLaren F1, agaknya la.

Kereta dua pintu (akses ruang kargo belakang hanya melalui tingkap tailgate) ini dihasilkan dengan dimensi 2,500 mm panjang, 1,250 mm lebar dan 1,600 tinggi. Ia diberikan kluster instrumen digital dan bumbung suria, tetapi tiada sistem penghawa dingin diberikan sebaliknya hadir dengan ‘kipas teksi’ sebagai ciri standard.

Fengqi F1 digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 1.2 kW (1.6 hp) 60V, menerima bekalan kuasa dari bateri asid plumbum.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required