Pengedar jenama Mazda di Malaysia, Bermaz Auto telah mengumumkan bahawa pusat servis mereka telah pun mula beroperasi semula sejak semalam, 12 Mei 2020. Seiring dengan saranan kerajaan untuk sentiasa mengamalkan penjarakan sosial, syarikat tersebut kini turut memperkenalkan Servis Tanpa Sentuhan Mazda bagi mengurangkan kontak fizikal antara pelanggan dan kakitangannya.

Menerusi servis ini, pelanggan diberikan dua pilihan bagaimana mahu menyelenggara kereta mereka. Pertama, pelanggan boleh memilih perkhidmatan mengambil dan menghantar semula kereta mereka, namun opsyen ini hanya ditawarkan oleh pusat servis terpilih dan hanya boleh diterima menerusi temu janji yang dibuat terlebih dahulu.

Dengan perkhidmatan ini, juruteknik servis akan mengambil kereta anda di tempat yang telah ditetapkan, namun ia hanya dalam radius 10 km dari pusat servis berkenaan. Selepas kereta siap diservis, ia akan dipulangkan kembali kepada anda.

Untuk pilihan kedua pula adalah servis bergerak, yang juga memerlukan pelanggan membuat temu janji terlebih dahulu. Servis ini akan menggunakan kenderaan Unit Servis Bergerak Mazda yang sebenarnya sudahpun diperkenalkan pada tahun 2017.

Pasukan servis bergerak berkenaan akan datang ke tempat anda untuk melakukan servis tersebut, tanpa perlu kereta di bawa pulang ke pusat servis. Tak kira anda memilih servis yang mana satu, kereta anda akan menjalani proses nyah kuman sebelum dan selepas ianya diservis.

Bagi membuat temu janji untuk Servis Tanpa Sentuhan Mazda ini ataupun mahu menyemak senarai pusat servis Mazda yang telah dibuka, anda boleh layari laman sesawang rasmi Mazda Malaysia.