Sebelum ini, ketibaan skuter SYM Maxsym TL 500 ke Malaysia sudah dibocorkan oleh pengedarnya yang mengambil tempahan awal pada harga RM35,888. Kini, pengedar rasmi motosikal jenama itu, MForce Bike Holdings Sdn Bhd menunjukkannya secara rasmi atas talian dan harga yang didedahkan oleh pengedar itu juga adalah harga yang sama, tidak termasuk insurans.
Walaupun harganya sudah dikeluarkan dan tempahan sudah mula diambil, MForce memberitahu skuter ini cuma boleh berada di pasaran dan diserahkan kepada pelanggan bermula awal bulan Julai 2020 kerana kekangan yang dihadapi akibat pandemik Covid 19 termasuk di negara asalnya iaitu Taiwan.
Skuter ini menggunakan enjin dua silinder 465 cc suntikan bahan api, bersama padanan transmisi CVT dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 40 hp pada 6,750 rpm dan 42.5 Nm tork pada 6,250 rpm. Tidak seperti skuter biasa, TL 500 menggunakan sistem rantai untuk menghantar kuasa ke roda belakang.
Kesemua lampu skuter ini menggunakan sistem LED manakala panel instrumen pula menggunakan skrin digital TFT 4.5 inci berwarna penuh. Rim adalah unit 15 inci yang dibalut tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang manakala brek pula kedua-duanya adalah unit cakera 275 mm yang dilengkapi dengan ABS.
SYM juga mendakwa skuter ini boleh memberikan prestasi pengendalian yang lebih baik kerana ia mempunyai pembahagian berat 50:50, fork USD 41 mm dan monoshock yang terletak di bahagian kiri, siap dengan tabung gas. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 223 kg dan ia dilengkapi dengan tangki bahan api 12.5 liter serta penghadang angin yang boleh dilaras.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.