PKPB: Sanggup palsukan dokumen untuk sambut hari raya di kampung, penjawat awam didenda RM1,800

PKPB: Sanggup palsukan dokumen untuk sambut hari raya di kampung, penjawat awam didenda RM1,800

Ini mungkin berita yang mungkin boleh memberikan pengajaran kepada mereka yang degil dan tidak putus asa untuk merentas sempadan negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) – seorang penjawat awam didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini, kerana memalsukan dokumen kebenaran merentas negeri untuk membolehkannya tinggal lebih masa di kampung bagi menyambut Aidilfitri, lapor Astro Awani.

Tertuduh, Mohd Norhisham Ismail yang berumur 41 mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, dan dia kemudiannya dijatuhkan hukuman tersebut oleh Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor.

Menurut laporan media sebelum ini, tertuduh memang sudah menerima kebenaran untuk pulang ke Kedah dengan alasan untuk menghantar ubat kepada bapanya di Pendang, dan sepatutnya perlu pulang semula ke Putrajaya pada 17 Mei lalu. Namun mengikut pertuduhan, dia telah mengubah tarikh pada surat tersebut kepada 26 Mei, iaitu dua hari selepas 1 Syawal.

Dia kemudian pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang untuk memohon surat kebenaran dari Pendang ke Putrajaya, bagaimanapun pihak polis meminta lelaki itu mengemukakan surat kebenaran dari Putrajaya dan mengesyaki sesuatu mencurigakan pada surat berkenaan.

Berikutan itu, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 177 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selepas disabitkan kesalahan, lelaki berkenaan bukan sahaja perlu menanggung denda yang telah dijatuhkan, malah dia dan keluarganya tidak dibenarkan pulang ke Putrajaya sehingga siasatan kes selesai.

Kerajaan memandang serius berkenaan kesalahan merentas negeri dalam tempoh PKPB ini kerana ia boleh mengganggu usaha petugas baris hadapan untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, sebanyak 18 kluster daripada jumlah keseluruhan 49 kluster kes jangkitan Covid-19 yang pernah dicatatkan dalam negara adalah berkaitan dengan aktiviti merentas negeri.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required