Bagi minggu bertarikh 6 hingga 12 Jun 2020, kesemua bahan api utama di negara diumumkan sekali lagi mengalami peningkatan harga runcit.

Menurut Kementerian Kewangan, harga runcit bagi petrol naik sebanyak 5 sen, iaitu RM1.78 seliter bagi RON 97 yang minggu sebelum ini berharga RM1.73 seliter. Manakala untuk RON 95 pula, daripada RM1.43 seliter, kini menjadi RM1.48 seliter.

Untuk diesel pula, harganya naik sebanyak 2 sen, kini menjadi RM1.63 seliter bagi Euro 2M, dan RM1.73 seliter untuk Euro 5. Kesemua harga baharu ini efektif mulai 12 tengah malam ini sehinggalah Jumaat hadapan, 12 Jun 2020.

Kementerian Kewangan Malaysia masih memberikan alasan yang sama bagi kenaikan harga ini, seperti mana minggu sebelum ini iaitu disebabkan oleh peningkatan harga minyak yang diproses (refined product), selari dengan harga minyak mentah dunia.

Walau bagaimana pun, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.