Rapid KL telah mengumumlan penutupan sementara tiga stesen MRT Laluan Kajang, atau sebelum ini dikenali sebagai Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK), pada 27 hingga 28 Jun 2020. Tiga stesen yang terlibat ialah Sungai Buloh, Kampung Selamat dan Kwasa Damansara.

Di mana untuk tarikh berkenaan, tren dari KL akan berhenti di stesen Kwasa Sentral. Rapid KL akan menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma disediakan di antara Kwasa Sentral dan Sungai Buloh dengan frekuensi setiap 15 minit, dan akan turut berhenti di stesen Kampung Selamat.

Dalam masa yang sama, tempat meletak kenderaan di Sungai Buloh akan terus dibuka, sementara fasiliti parkir di Kwasa Damansara akan ditutup bersama stesen berkenaan.

Menurut pengendali rel terbabit, penutupan sementara stesen berkenaan adalah untuk kerja-kerja migrasi sistem MRT Laluan Putrajaya (dahulunya dikenali sebagai Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP)).Laluan MRT kedua berkenaan telah pun mencapai 70% siap pada Mac lalu, bakal disambungkan ke laluan pertama di stesen Sungai Buloh.