Mazda telah mendedahkan model trak pikap BT-50 serba baru, menampilkan rekaan yang diperbaharui sepenuhnya untuk kali pertama sejak sembilan tahun lalu. Generasi terbaru trak pikap berkenaan juga menandakan peralihan penting bagi pengeluar kenderaan berpangkalan di Hiroshima itu; Mazda tidak lagi menggunakan Ford Ranger sebagai asasnya, tetapi kini beralih kepada Isuzu D-Max.

Isuzu juga akan memasang BT-50 untuk Mazda di Thailand, dengan jangkaannya trak baru itu akan mula masuk bilik pameran hujung tahun ini. Isuzu D-Max generasi ketiga yang ada kini dipertontonkan Oktober tahun lalu. BT-50 yang ada lihat ini kelihatan sangat berbeza daripada D-Max, dengan rekaan wajah depan dan bahagian belakang yang tersendiri – langsung tiada persamaan dengan Isuzu D-Max.

BT-50 ini juga akan menerapkan rekaan luaran dan badan dengan pendekatan Kodo, sama seperti model-model Mazda yang lain. Wajah depannya saling tak tumpah seperti rekaan depan SUV-SUV Mazda yang ada ketika ini. Dan, trak Mazda ini nampak lebih menarik dan tidak terlalu kental seperti D-Max. Dua warna utama yang ditampilkan ialah Gunblue Mica yang ditunjukkan ini serta Concrete Grey Mica.

Ruang dalamannya ringkas dan kemas. Rekaan pemuka adalah unik untuk BT-50, menampilkan rekaan melintang yang luas. Ia kelihatan lebih kepada rekaan yang biasa dilihat pada kenderaan penumpang, imej dan fungsi yang sedikit berbeza daripada rekaan yang ditampilkan pada papan pemuka D-Max.

“BT-50 serba baru menampilkan rekaan unik daripada Kodo Soul of Motion Mazda, yang memberi tumpuan kepada ketahanan, kuasa dan fungsi serasi sebagai sebuah trak pikap,” jelas Mazda. Trak ini menggunakan enjin 3.0 liter turbodiesel dengan janaan 190 PS dan 450 Nm dari 1,600 rpm hingga 2,600 rpm.

Unit 4JJ3-TCX jangkaannya akan digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan serta transmisi automatik. Jika dilihat pasaran Thailand, enjin 1.9L (150 PS/350 Nm) juga ada ditawarkan. Jadi, kemungkinan untuk ini sentiasa terbuka.

BT-50 ini juga akan memberikan bacaan penjimatan yang lebih baik, disebabkan pengurangan berat dan enjin yang lebih cekap. Kapasiti menunda ialah 3,500 kg dan tampungan bebanan ialah melebihi 1,000 kg.

Dari sudut keselamatan, trak ini hadir dengan teknologi bantuan pemandu terkini seperti kawalan melayar adaptif, brek kecemasan automatik, bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta dan amaran lintasan trafik di belakang. Semua ini adalah standard untuk pasaran Australia, tetapi mungkin akan sedikit berbeza di Thailand/ASEAN.