Honda Malaysia hari ini mengumumkan panggilan semula ke atas 55,354 unit kenderaan Honda bagi tujuan penggantian pam bahan api sedia ada sebagai satu langkah pencegahan awal, selari dengan pendekatan sama yang dilakukan di peringkat global.

Pecahan model-model yang terlibat serta tahun pengeluarannya adalah seperti berikut; Accord (2018, 298 unit), BR-V (2018, 5,367 unit), City (2019, 15,582 unit), City HEV (2019, 1,620 unit), Civic (2018, 9,122 unit), CR-V (2018, 5,883 unit & 2019, 1,047 unit), HR-V (2018, 8,070 unit), HR-V HEV (2018, 1,408 unit), Jazz (2019, 6,509 unit) dan Jazz HEV (2019, 448 unit).

Honda Malaysia juga mengesahkan, semua kenderaan yang dipasang dan dikeluarkan pada tahun 2020 tidak terlibat dengan panggilan semula ini. Syarikat berkenaan yakin bahawa panggilan semula ini perlu dilakukan sebagai langkah pencegahan terhadap kemungkinan berlakunya kehilangan kuasa dari enjin. Segala kesulitan kepada pelanggan adalah amat dikesali.

Semua pelanggan yang terlibat di dalam panggilan semula ini akan dimaklumkan melalui surat, yang akan mengandungi perincian lanjut berkaitan hal ini. Honda Malaysia juga menggesa semua pelanggan yang terkesan dengan aktiviti ini untuk menghubungi mana-mana pengedar sah Honda untuk membuat temujanji selepas menerima notis berkenaan untuk menukar pam bahan api berkenaan, bergantung kepada stok alat ganti.

Setakat hari ini, belum ada apa-apa kejadian seperti kemalangan atau kecederaan yang berpunca daripada masalah pam bahan api ini yang dilaporkan di Malaysia. Penukaran alat ganti berkenaan adalah percuma dan semua kos terlibat akan ditanggung oleh Honda Malaysia. Stok untuk penggantian alat ganti berkenaan akan tersedia secara berperingkat.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi pengedar sah Honda yang berdekatan atau layari www.honda.com.my untuk menyemak status kenderaan masing-masing.