Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah mengeluarkan senarai harga dikemaskini bagi semua barisan kenderaan Hyundai berikutan pengumuman pengecualian cukai jualan (SST) bagi kenderaan penumpang CKD (100%) dan CBU (50%) yang akan berkuatkuasa sehingga 31 Disember nanti.

Jika diperhatikan jadual di bawah, tiada perbezaan harga bagi Hyundai Elantra, Ioniq hibrid dan Tucson. Ini adalah kerana model-model berkenaan dikilangkan pada tahun 2019, dan hanya kenderaan yang dikeluarkan pada 2020 akan diberi pengecualian cukai. Walaupun harga rasmi kekal sama bagi ketiga-tiga berkenaan, tentunya ada promosi yang ditawarkan kepada yang berminat.

Bagi SUV Santa Fe CKD, ia dijual sebelum ini pada harga RM171,888 hingga RM213,888 (atas jalan tanpa insurans), kini harganya turun kepada RM166,974 bagi 2.4 Executive hingga RM207,638 bagi varian paling tinggi 2.2 Premium. Itu melibatkan penjimatan antara RM4,913 hingga RM6,249, atau 2.86% hingga 2.92%.

Sementara itu, Hyundai i30 N – model CBU yang diimport dari Eropah – menerima penurunan harga dari RM298,888 kepada RM293,797. Itu melibatkan perbezaan sebanyak RM5,090, atau 1.7%. Tiada perbezaan harga bagi MPV Hyundai Grand Starex, disebabkan status komersialnya.