Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur telah melancarkan barisan penuh model Black Badge di Malaysia dan menjadi satu-satunya pengedar dalam benua ini menawarkan kesemuanya dalam pasaran. Ia terdiri daripada empat model iaitu Wraith, Ghost, Dawn dan Cullinan, dengan masing-masing mempunyai tema warna gelap dan lebih sporty.
Barisan model Black Badge ini mulanya diperkenalkan pada tahun 2016 melalui model Wraith dan Ghost untuk menarik lebih ramai pelanggan muda kepada jenama Rolls-Royce. Kini, setiap model datang dalam pilihan luas 44,000 warna tetapi menurut Rolls-Royce warna yang bakal menjadi pilihan utama sudah tentu adalah hitam.
Cat yang digunakan pada model ini mempunyai beberapa lapisan dan digilap hampir 12 kali, dan menurut Rolls-Royce adalah satu proses kemasan akhir permukaan yang paling komprehensif pernah dilakukan pada warna cat solid. Kemasan yang biasanya berwarna krom iaitu maskot Spirit of Ecstasy, keliling gril serta tepi tingkap juga diwarnakan hitam berkilat.
Untuk Black Badge Dawn, ia mendapat kit Aero Cowling yang menukarkan model mewah bumbung boleh buka ini kepada sebuah kereta dua tempat duduk bergaya roadster. Pelanggan juga boleh memilih versi empat tempat duduk jika mahu dan kain kanvas bumbung warna hitam datang secara standard.
Bergantung kepada model, kemasan luar juga boleh dipilih daripada bahan gentian karbon, dan kesemua model ini datang dengan rim eksklusif dua tona warna. Rolls-Royce memberitahu rekaan rim ini cuma disediakan untuk model Black Badge, sementara Cullinan pula mendapat angkup brek berwarna merah. Sudah tentu, anda juga boleh mengubah banyak lagi bahagian pada kenderaan ini mengikut cita rasa.
Pada bahagian dalam, semua empat model Black Badge ini mendapat kemasan Technical Carbon, yang menunjukkan jalinan kain karbon itu secara jelas dan diberikan kesan tiga dimensi. Setiap bahagian diberikan enam lapisan cat lutsinar sebelum dibiarkan selama 72 jam dan digilap menggunakan tangan sehingga berkilat.
Menurut Rolls-Royce lagi, proses ini mengambil masa 21 hari dan pakar yang membuatnya akan memastikan setiap panel mencapai tahap kilat yang sama. Seperti kebiasaan sebuah kenderaan Rolls-Royce, bahagian dalam boleh diubah suai dengan pelbagai pilihan warna dan jenis kemasan. Sebagai contoh, bagi Cullinan, ia juga boleh dipasang dengan kemasan bumbung Starlight Headliner yang mempunyai 1,344 lampu gentian optik.
Model Black Badge ini juga mempunyai peningkatan prestasi, di mana Dawn, Wraith dan Ghost dipacu oleh enjin petrol V12 6.6 liter twin turbo yang mempunyai lebih kuasa berbanding model biasa lain.
Black Badge Ghost menawarkan kuasa 612 hp dan 840 Nm tork, dan ia disampaikan kepada roda belakang melalui tranmsisi automatik lapan kelajuan. Hasilnya, kenderaan mewah seberat 2.5 tan ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat sebelum mencapai laju maksimum 250 km/j.
Wraith pula sedikit lebih berkuasa, dengan jumlah keseluruhan 632 hp dan 870 Nm tork. Sistem pacuan dan transmisi masih lagi sama, dan pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 4.5 saat sementara laju maksimum masih lagi 250 km/j.
Pembeli Black Badge Dawn pula akan menikmati kuasa yang lebih tinggi berbanding model Dawn biasa. Ia datang dengan kuasa maksimum 601 hp dan 840 Nm tork, membolehkan model ini memecut 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat.
Bagi Cullinan yang merupakan sebuah SUV pula, ia dikuasakan oleh enjin V12 6.75 liter twin turbo yang menyediakan kuasa 593 hp dan 900 Nm tork.
Semua model Black Badge ini akan mendapat sistem ekzos sport manakala prestasi transmisi, brek serta suspensi juga telah dipertingkat supaya bersesuaian. Menurut Rolls-Royce, model Black Badge ini adalah versi yang paling dinamik bagi setiap model yang ditawarkan.
Harga model Black Badge bermula RM1.4 juta bagi Ghost, RM1.7 juta untuk Wraith dan Cullinan, dan RM1.8 juta bagi Dawn. Harga ini tidak termasuk duti dan bergantung kepada pilihan tambahan dan spesifikasi kemasan yang dipilih oleh pelanggan.
GALERI: Rolls-Royce Black Badge Cullinan
GALERI: Rolls-Royce Black Badge Dawn
GALERI: Rolls-Royce Black Badge Ghost dan Wraith
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.