Lambakan penjualan aksesori kenderaan di pasaran tempatan yang mampu mengundang bahaya semakin menggusarkan pihak berwajib. Ini termasuklah penyambung tali pinggang keledar. Rata-rata pengguna yang membelinya adalah kerana tidak mahu memakai tali pinggang keledar apabila berada di dalam kenderaan dan tidak tahan dengan bunyi amaran daripada sistem keselamatan kenderaan yang mengesan pemandu atau penumpang tidak memakai tali pinggang keledar.

Aksesori sebegini memang sangat mudah untuk didapati di pasaran termasuk secara dalam talian, malahan dijual dengan harga yang begitu murah. Walau bagaimana pun, sedarkah anda, penggunaan aksesori sebegini boleh mengundang maut sekiranya anda terbabit dengan kemalangan jalan raya?

Disebabkan perkara ini, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menggesa pihak kerajaan untuk mewujudkan satu peraturan yang melarang penjualan aksesori kenderaan yang berupaya mendatangkan risiko maut apabila berlaku kemalangan.

Menurut Ketua Pengarahnya, Dr Khairil Anwar Abu Kassim, sehingga kini penjualan aksesori kereta tertentu termasuk penyambung tali keledar adalah dibenarkan berikutan tiada undang-undang yang mengawal penjualannya di pasaran.

“Peralatan ini tidak pernah ‘tidak sah’ dan ia boleh dijual di pasaran walaupun di kedai serbaneka, sedangkan jelas ia amat berbahaya jika digunakan pemandu kenderaan. Justeru, saya berasakan perlu diwujudkan satu undang-undang yang boleh mengawal atau menyekat penjualan aksesori kenderaan yang berbahaya kepada pengguna,” katanya menerusi laporan khas oleh Berita Harian.

Tambah beliau, pihaknya juga bercadang mengadakan pertemuan dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membabitkan aspek penguatkuasaan. Bagaimanapun, katanya, tindakan penguatkuasaan mungkin boleh dilaksanakan terlebih dahulu bagi memastikan aksesori ini tidak dijual sewenang-wenangnya di pasaran.

“Dari segi undang-undang ia memang perlu namun mungkin mengambil sedikit masa. Namun, untuk masa terdekat ini, mungkin kita akan melakukan pertemuan dengan KPDNHEP bagi membincangkan isu ini,” katanya.

Akhbar terbabit juga meminta meminta pendapat Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak, yang turut berkata perbincangan mengenai isu berkenaan giat dijalankan, susulan pelbagai kes kemalangan yang semakin meruncing kebelakangan ini.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan kementerian kini pada fasa melengkapkan kajian bersama pihak berkaitan seperti Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kena teliti undang-undang, jadi kita ada buat kajian rentetan daripada kemalangan yang berlaku akhir-akhir ini, selain mendapatkan maklum balas daripada pihak berkaitan. Sebenarnya alat ini adalah untuk kegunaan orang berbadan bersaiz besar, bukan untuk ‘mendiamkan’ penggera tali keledar kenderaan.

“Oleh itu, memandangkan tiada larangan dalam bentuk sekatan penjualan yang boleh dikenakan terhadap peniaga aksesori ciplak sedemikian, kita perlu teliti aspek perundangan dalam usaha menangani isu seperti ini,” katanya.

Isham mengesahkan bahawa alat nyah aktif penggera tali keledar ciplak itu tidak mampu mengaktifkan beg udara apabila berlaku impak pelanggaran ketika kemalangan.

“Produk ciplak ini tiada peranti pengesan seperti diletakkan dalam seat belt extender (penyambung tali pinggang keledar) untuk kegunaan orang berbadan saiz besar,” katanya.

Ditanya pendekatan terbaik untuk menyekat penjualan aksesori membahayakan pengguna itu, Isham berkata kerajaan ketika ini mampu berbuat demikian melalui kempen kesedaran dan nasihat.