Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah melancarkan model pemasangan tempatan C 200 AMG Line, yang ditawarkan pada harga RM251,587.38 (termasuk pengecualian cukai jualan). Berita baik mengenai kemunculan model ini di pasaran ialah ia menggunakan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol berbanding 1.5 liter EQ Boost hybrid (yang diperkenalkan pada model facelift C 200).

Unit penjana kuasa 2.0 liter ini mampu menghasilkan 204 hp pada 5,800 hingga 6,100 rpm dan tork 300 Nm pada 1,600 hingga 4,000 rpm. Di mana ia lebih 20 hp dan 20 Nm berbanding enjin 1.5L EQ Boost, dengan puncak tork lebih pantas berbanding penjana kuasa hibrid pada takat 3,000-4,000 rpm.

Bagi prestasinya, C 200 AMG Line baharu ini mampu mencapai pecutan 0-100 km/j dalam 7.1 saat, berbanding 1.5L EQ Boost pada 7.7 saat. Manakala kelajuan maksimum yang boleh dicapai ialah 250 km/j (239 km/j pada model hibrid) dan penggunaan bahan api kombinasi antara 6.3 hingga 5.9 liter per 100 km/j (lebih kurang sama dengan model hibrid). Pacuan disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan.

Bagi kelengkapannya, ia menerima sentuhan AMG Line, termasuk gril radiator berlian dengan pins krom, bampar hadapan dan belakang spesifik-AMG dan roda aloi ringan lima-jejari AMG 18-inci. Selain itu, ia turut diberikan suspensi sport dengan unit Agility Control yang lebih keras seperti model C 200 Avantgarde.

Untuk bahagian kabinnya, ia menerima skrin LCD 12.3-inci digital sepenuhnya yang menawarkan tiga tema grafik, sementara paparan infotainmen tengah pula berukuran selebar 10.25-inci. Ia turut menampilkan Mercedes me connect yang membolehkan pengguna untuk mengakses beberapa fungsi kenderaan.

Sebagai varian AMG Line, bahagian dalamannya dihitamkan dengan anthracite headlining dan kemasan kayu oak, bersama roda stereng kulit Nappa dan pad permukaan metalik (hitam berkilat pada model C 200 Avantgarde), pedal penukar gear galvanised, upholstery kulit Artico dan pedal sport AMG.

Untuk aspek keselamatan, ia lebih kurang sama dengan C 200 Avantgarde, dengan menerima bantuan parkir aktif, kamera undur, kawalan kelajuan Speedtronic, bantuan titik buta (beroperasi dari 10 km/j hingga 200 km/j), tujuh beg udara, bantuan brek aktif, dan brek kecemasan sendiri (AEB) secara standard.

Timbalan Presiden Pemasaran dan Jualan MBM, Michael Jopp berkata, “C-Class telah menjadi salah satu daripada jualan terbaik bagi rangkaian kenderaan kami, dengan terjual lebih 20,000 unit setakat ini, sejak ia diperkenalkan pada 2014. Model pemasangan tempatan juga telah mendapat penerimaan yang menggalakkan daripada para pelanggan kami.”

Sambungnya lagi, “Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kami terhadap pasaran tempatan, model sedan saiz sederhana premium, C 200 ini telah dipertingkatkan dengan beberapa penambahbaikan termasuklah memiliki enjin yang lebih berdinamik, suspensi sport, sistem infotainmen digital dan Mercedes me connect. Model ini dilihat mampu memenuhi permintaan pelanggan kami.”