Kementerian Kewangan telah mengeluarkan kenyataan mengenai harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api di negara ini untuk minggu bertarikh 18 hingga 24 Julai 2020 adalah kekal seperti minggu sebelumnya.

Ini bermakna, petrol RON 97 masih kekal berharga RM2.02 seliter, begitu juga dengan RON 95 yang berharga RM1.72 seliter.

Manakala untuk diesel pula, harga bagi gred Euro 2M tetap RM1.87 seliter manakala Euro 5 pula RM1.97 seliter. Kesemua harga ini efektif mulai 12 tengah malam ini sehingga Jumaat hadapan, 24 Julai 2020.

Menurut kementerian terbabit, harga runcit ketiga-tiga bahan api utama berkenaan adalah berdasarkan harga minyak yang diproses (refined product), selari dengan harga minyak mentah dunia.

Justeru, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.