Jaguar Land Rover tiba di satu penanda aras baru bagi barisan enjin Ingenium, dengan lebih daripada 1.5 juta unit telah dikeluarkan dari kilangnya di Wolverhampton, West Midlands, England.

Enjin Ingenium yang pertama keluar dari fasiliti itu ialah pada 2015, versi empat-silinder diesel yang menjadi satu-satunya pilihan enjin berkenaan sebelum ia disertai oleh versi petrol empat-silinder pada 2016. Enjin mild-hybrid enam-silinder sebaris tiba pada 2019 melalui pengenalan sulung Range Rover Sport HST, yang menyaksikan enjin Ingenium padanya menghasilkan 400 PS dan 550 Nm tork.

Selain enjin pembakaran dalaman dan hibrid, kilang yang sama juga terlibat memasang unit pacuan elektrik untuk Jaguar I-Pace, yang diperkenalkan pada 2018. Kilang yang sama juga diadaptasikan untuk menampung keperluan pengeluaran enjin dengan elektrikfikasi.

Jaguar Land Rover akan meneruskan pembangunan teknologi Ingenium, memajukan lagi teknologi elektrikfikasi terhadap model-modelnya serta terlibat di dalam menghasilkan penyelesaian menggunakan unit hidrogen fuel-cell. Menurut mereka, ekosistem elektrifikasi yang lebih luas sedang dibangunkan oleh syarikat di Hams Hall, Birmingham di mana pusat pemasangan bateri terbaru dibuka, mengeluarkan pek bateri untuk kenderaan elektrik sepenuhnya dan juga plug-in hybrid.

Kumpulan syarikat pengeluar itu mempunyai dua lokasi rekaan dan kejuruteraan, tiga kilang pemasangan kenderaan dan dua kemudahan pemasangan sistem janaan kuasa di UK. Operasi di negara luar pula melibatkan China, Brazil, India, Austria dan Slovakia. Menurut Autocar, Jaguar Land Rover menghasilkan lebih daripada 557,000 kenderaan tahun lalu.