Elektrifikasi kenderaan adalah jalan untuk ke hadapan. Dan untuk itu, Maserati juga tidak ingin ketinggalan; jenama itu kini memperkenalkan Ghibli Hybrid baru, sebuah model yang sepatutnya dipamerkan di Beijing Motor Show tetapi terbantut kerana pandemik Covid-19.
Rekaannya tidak jauh berbeza daripada Ghibli biasa, dengan kelainan dari aspek kemasan biru di bahagian luar, termasuk pada bukaan udara sisi, angkup brek serta logo pada tiang C. Di dalam juga sama, tidak banyak perbezaan rekaan yang dilakukan. Benang biru digunakan pada jahitan kerusi. Perubahan lain termasuk sistem infotainmen berasaskan Android yang disambung pada paparan skrin sentuh 10.1-inci, bersama panel instrumen digital dan program Maserati Connect.
Ghibli Hybrid ini dilengkapi enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder petrol dengan alternator 48-volt serta “eBooster” supercharger elektrik tambahan. Ia mengambil kuasa dari bateri yang dipasang di belakang dan membantu mengisi jurang tork sebelum turbo aktif, atau dari tenaga recovery ketika brek dan memperlahankan kenderaan.
Output akhirnya ialah 330 PS (325 hp) dan 450 Nm tork. Ia bukanlah Ghibli yang paling berkuasa dari barisannya, sebaliknya memberikan penjimatan yang terbaik. Maserati mendakwa model baru ini memberi bacaan penggunaan minyak serendah 8.5 l/100 km (11.8 km/l) mengikuti kitaran WLTP, sementara pembebasan CO2 ialah 192 g/km.
Ini dipadankan pula dengan transmisi automatik lapan-kelajuan ZF dengan limited-slip differential untuk memacu roda belakang. 0-100 km/j adalah dalam masa 5.7 saat, dengan laju maksimum 255 km/j.
Dengan konfigurasi ini, Ghili Hybrid tetap lebih ringan sebanyak 80 kg jika dibandingkan dnegan Ghibli 3.0 liter turbodiesel V6. Ghibli Hybrid hanyalah satu daripada beberapa model elektrifikasi yang dirancang. Tahun 2021 bakal menyaksikan kereta elektrik pertama Maserati dalam bentuk GranTurismo dan GranCabrio.