Rapid KL telah umumkan jadual baru bagi perkhidmatan bas perantara lapangan terbang, yang menghubungkan stesen LRT Putra Heights dengan KLIA dan KLIA 2. Jadual baru ini bermula hari ini, 20 Julai 2020.

Dengan jadual baru ini, ia akan melibatkan empat perjalanan setiap hari dari setiap tiga hentian yang terlibat – stesen LRT Putra Heights, KLIA dan KLIA 2. Dua di sebelah pagi, dan dua lagi di sebelah petang, berkemungkinan untuk menampung keperluan mereka yang bekerja di sana.

Pengurangan kekerapan ini tentunya mengikut corak permintaan terhadap perkhidmatan bas perantara ketika ini, yang semakin berkurang selepas penularan wabak Covid-19 kerana lapangan terbang juga kurang sibuk. Walaupun pergerakan antara negeri telah dibenarkan, pergerakan rentas negara dan sempadan masih lagi ditutup.

Bagi mereka yang tidak mengetahui tentang kewujudan perkhidmatan perantara lapangan terbang ini, ia adalah cara ekonomikal untuk ke sana. Dilancarkan pada Februari 2019, caj RM10 untuk tren dan bas itu melibatkan perjalanan ke stesen LRT Putra Heights (menggunakan LRT, MRT, Monorail atau BRT) dan bas perantara dari Putra Heights ke lapangan terbang.