Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengesahkan kerja pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura bermula Januari 2021. Malah perkhidmatan ini dijangka mula beroperasi pada akhir tahun 2026.

Menurut Dr Wee, perkara itu telah dimuktamadkan melalui rundingan Malaysia dan Singapura baru-baru ini. Majlis bagi memeterai perjanjian antara kedua-dua negara itu juga dijadualkan diadakan pada 30 Julai depan di Tambak Johor dan ia bakal disaksikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, laporan Bernama.

“Pembinaan RTS ini juga akan berjalan dalam dua fasa, iaitu (fasa pertama) dari awal tahun 2021 hingga hujung tahun 2024, di mana ia akan memberi fokus pada pembinaan dan pembangunan struktur sivil.

“Manakala (fasa dua yang bermula) awal 2025 hingga hujung tahun 2026, di mana fasa ini melibatkan pembinaan sistem seperti ‘signalling’, telekomunikasi dan pengujian sistem,” katanya ketika sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru), yang bertanyakan mengenai status terkini rundingan antara Malaysia dan Singapura berkaitan projek RTS.

Projek RTS itu merangkumi pembinaan landasan sepanjang empat kilometer, menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bharu dan Woodlands di Singapura, dengan kapasiti mengangkut 10,000 penumpang, setiap jam.

Pembinaan projek RTS sepatutnya bermula tahun lepas, namun tertangguh beberapa kali. Kos baharu projek berkenaan adalah sebanyak RM3.16 bilion berbanding kos asal RM4.93 bilion.