MINI Cooper SE 2020 dilancarkan di Malaysia pada 26 Ogos – pendaftaran minat untuk EV ini kini dibuka

MINI Cooper SE 2020 dilancarkan di Malaysia pada 26 Ogos – pendaftaran minat untuk EV ini kini dibuka

Pada Jun lalu, MINI Malaysia telah menguar-uarkan ketibaan jentera semua-elektrik MINI Cooper SE (atau lebih dikenali sebagai MINI Electric di beberapa pasaran) dan kini tarikh pelancaran rasminya untuk negara ini telah diketahui iaitu pada 26 Ogos 2020. Informasi ini telah pun dimaklumkan menerusi laman web rasmi syarikat ini.

Diperkenalkan pada Julai 2019, MINI Cooper SE dipadankan dengan motor elektrik yang digunakan
sama seperti BMW i3s dan mampu menghasilkan kuasa 181 hp (135 kW) dan tork maksimum 270 Nm. Walau bagaimanapun, MINI Cooper SE ini menggunakan pacuan roda hadapan dan bukannya roda belakang seperti i3s. Bagi pecutan 0-100 km/j, ia boleh dicapai dalam masa 7.3 saat, dan kelajuan maksimum pula mencecah 150 km/j.

Motor elektrik yang digunakan mendapat kuasa daripada bateri voltan tinggi yang diperbuat daripada lithium ion dan dibahagikan kepada 12 modul. Ia diletakkan pada lantai kenderaan dalam bentuk T dan mempunyai kapasiti 32.6 kWh (i3 menggunakan bateri 33.2 kWh).

MINI Cooper SE 2020 dilancarkan di Malaysia pada 26 Ogos – pendaftaran minat untuk EV ini kini dibuka

Sama seperti i3s, Cooper SE ini datang bersama pengecas AC 11 kW dengan penyambung Type 2, yang membenarkan pilihan beberapa tempat mengecas termasuk soket dan kabel single phase biasa di rumah. Selain daripada itu, pemilik juga boleh menggunakan MINI Electric Wallbox di rumah yang mempunyai kapasiti 22 kW atau kabel three phase untuk disambungkan kepada stesen pengecasan pantas awam.

Apabila menggunakan dua sistem pengecasan ini (Wallbox dan stesen awam), bateri Cooper SE boleh sampai ke tahap 80% dalam masa dua jam setengah dan 100% dalam masa tiga jam setengah. Apabila sudah penuh, ia boleh bergerak antara 235 hingga 270 km berdasarkan ujian kitaran WLTP. Jika mahukan pengecasan yang lebih pantas, pemilik perlu menggunakan sistem DC dengan sambungan CCS Combo 2, di mana dengan kapasiti pengecasan 50 kW, tahap 80% boleh dicapai dalam masa 35 minit sahaja.

Untuk imejnya pula, Cooper SE mempunyai bentuk yang sama dengan Cooper 3 Door biasa, tetapi beberapa bahagian dijadikan unik. Ini termasuk gril hadapan dengan bukaan udara lebih kecil dan diserikan dengan jalur kuning serta logo MINI Electric, dan kemasan kuning pada beberapa bahagian lain termasuk cermin sisi dan tempat mengecas.

MINI Cooper SE 2020 dilancarkan di Malaysia pada 26 Ogos – pendaftaran minat untuk EV ini kini dibuka

Bahagian dalam juga mempunyai bentuk yang sama, tetapi dengan beberapa perbezaan kecil termasuk panel instrumen digital 5.5 inci di belakang roda stereng yang boleh memaparkan pelbagai informasi seperti tahap bateri, mod pemanduan, infotainmen, jarak pacuan dan lain-lain. Paparan panel ini juga boleh berubah mengikut mod pemanduan yang dipilih.

Selain itu, kemasan kuning turut digunakan termasuk pada stereng, tombol gear, butang pemula enjin dan kawalan sistem infotainmen. Apabila memilih pakej Interior Style MINI Electric, ia akan dilengkapi pula dengan jahitan benang kuning serta alas kaki yang mempunyai logo MINI Electric.

Kita akan dapat tahu lebih terperinci mengenai kelengkapan standard dan harganya apabila model ini dilancarkan kelak. Kalau ikut pasaran di negara jiran, Thailand, ia dijual pada harga 2.29 juta baht (RM304,422). Murah sedikit berbanding BMW i3s yang turut dijual di sana dan berharga 3.7 juta baht (RM491,976).

Di negara kita pula, model i3s buat masa ini berharga RM268,823.96 sehingga hujung 2020 susulan pengecualian SST, jadi adakah Cooper SE akan lebih murah berbanding BMW EV? Tunggu dan lihat.

GALERI: MINI Cooper SE F56

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required