Shell akan menghuraikan berkaitan minyak pelincir Helix Power dan Helix Protect yang baru saja diperkenalkan sebelum ini di dalam pelancara maya hari ini. Acara berkenaan, yang akan berlangsung jam 6 petang nanti, bakal menyaksikan pakar produk Shell memperincikan lagi kedua-dua pelincir berkenaan, menerangkan tentang perbezaan antara keduanya.

Penawaran minyak enjin sintetik penuh itu disasarkan kepada pemandu dengan keperluan dan penggunaan yang berbeza. Helix Power merupakan jenis 0W-40 yang menampilkan ciri aditif yang memberi tumpuan kepada prestasi untuk memaksimumkan kuasa enjin dan memberikan pecutan lebih lancar di lebuhraya, ketika mendaki dan jalan biasa.

Sementara itu, Helix Protect pula dengan formulasi kelikatan 0W-30 yang lebih mementingkan aditif bagi perlindungan enjin agar ia kekal bersih dan tahan lama, sesuai untuk kereta yang kerap digunakan dalam keadaan trafik sesak dalam bandar.

Harga cadangan bagi Helix Power ialah RM280 bagi pek empat liter, sementara bagi Helix Protect ialah RM240, juga dalam pek empat liter. Menurut Shell, kedua-duanya memberi lebih manfaat kepada pengguna, memudahkan lagi proses pemilihan pelincir untuk kereta mereka mengikut kesesuaian penggunaan. Penerangan ketika pelancaran hari ini akan memberi peluang kepada anda untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk ini. Jangan terlepas untuk menontonnya.