Pasaran India kini makin menarik untuk diperhatikan. Misalnya, untuk Kia. Tahun lalu, Seltos mula dilancarkan di sana, dan kini barisan kenderaan lain jenama itu mula mengisi kekosongan perwakilan jenama berkenaan dalam pasaran dengan pengenalan Kia Sonet pula.

SUV kecil ini, yang pertama kali ditunjukkan sebagai model konsep enam bulan lalu, bersaing dengan Hyundai Venue, Maruti Suzuki Vitara Brezza dan Nissan Magnite akan datang dalam kenderaan segmen A. Menariknya, Sonet nampak agak mirip dengan model konsep yang dipertontonkan sebelum ini.

Rekaan gril “tiger nose” yang besar, grafik pada lampu utama serta lampu belakang melintang penuh, hiasan fender besar, kemasan bampar ala diffuser, ekzos berkembar hiasan antara yang menyumbang kepada kelainan penampilan model ini.

Kelainan yang dilakukan pada model produksi ini pula misalnya ialah penggunaan cermin pintu yang lebih besar, pemegang pintu konvensional dan wajah depan yang lebih agresif dengan projektor lampu kabus. Rim 16-inci pada model GT-Line juga lebih kecil dan tipis. Bagaimanapun, kereta ini masih menampilkan dua tona warna luaran yang bergaya.

Di dalam, Sonet tampil sebagai sebuah Sorenta mini. Corong udara menegak dan paparan infotainmen serta panel instrumen menjadi antara elemen utama. Bagi model GT-Line, ia hadir dengan rekaan stereng rata bahagian bawah dan penggunaan benang merah. Kia mendakwa kereta ini mempunyai ciri yang pertama dalam segmennya – liang udara pada kerusi, sistem bunyi Bose dengan 10 pembesar suara dan skrin sentuh 10.25-inci bagi sistem infotainmennya.

Senarai kelengkapan selebihnya terdiri daripada paparan multi-info 4.2-inci, pengecas tanpa wayar Qi, sistem lampu suasana kabin yang mengikut rentah muzik yang dimainkan, penapis udara kabin Smart Pure dengan perlindungan virus adalah antara yang ada. Sebagai respon terhadap pandemik ketika ini, penapis udaranya dilengkapi dengan lapisan N29 HEPA dan lampu ulatra-violet C yang menurut Kia berkesan untuk membunuh bakteria dan virus.

Bagi enjin, kereat ini ditawarkan dengan tiga pilihan enjin Smartsteram dan lima pilihan jenis transmisi. Ada unit 1.2 liter empat-silinder dan 1.0 liter turbocas T-GDi tiga-silinder petrol, serta unit 1.5 liter CRDi turbodiesel yang digandingkan bersama kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik enam-kelajuan.

Transmisi lain yang turut disediakan ialah manual lima-kelajuan, jenis klac berkembar tujuh-kelajuan bagi enjin 1.0 liter turbo dan transmisi baru manual pintar enam-kelajuan (iMT). Jenis ini menggunakan klac kendalian elektronik. Bagi pasaran India, kotak gear ini dipasangkan “sensor penentu” yang melepaskan klac ketika tuil gear digerakkan.

Ia ditala supaya enjin tidak mati dalam kedudukan gear tinggi dan kereta sedang bergerak perlahan. Ia juga datang dengan modul kawalan rev untuk mengelakkan kereta berundur ketika dalam kedudukan mendaki. Kia Sonet memang direka untuk pasaran India, tetapi disasarkan sebagai model global. Ada peluang untuk Sonet di jual di sini? Kalau ikutkan Seltos, memang ada peluanglah.