Kanak-kanak maut akibat terkurung dalam kereta bapa – sila periksa kenderaan sebelum meninggalkannya

Semalam berlaku satu kejadian menyedihkan apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ditemui meninggal dunia, dipercayai tertinggal di dalam kereta bapanya hampir 10 jam, laporan Bernama.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah, kejadian berkenaan berlaku di Bukit Makmur, Sungai Lalang, Sungai Petani, disedari bapa mangsa yang berumur 30-an itu, ketika hendak pulang ke rumah dari tempat kerjanya pada 6.20 petang.

“Sebelum kejadian, bapa mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori itu telah menghantar kakak mangsa ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Bayu, Sungai Petani pada 7.30 pagi, sebelum terus ke tempat kerjanya di Bukit Makmur, Sungai Lalang.

“Bapa mangsa sepatutnya menghantar mangsa ke rumah neneknya di Kampung Bukit, Sungai Pasir, namun terlupa bahawa mangsa berada di dalam kereta dan sedang tidur di bahagian tempat duduk belakang,” katanya.

Adzli berkata, selepas selesai bekerja, bapa mangsa telah pergi ke kereta sebelum melihat mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri, di bahagian tempat duduk belakang kereta. Jenazah kanak-kanak terbabit kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat. Tambahnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Ini bukanlah insiden pertama seumpamanya yang berlaku di negara kita kerana ia pernah terjadi beberapa kali sebelum ini. Memang malang tidak berbau. Tetapi sebagai individu dewasa, kita wajib peka dengan keadaan seperti ini, terutamanya yang melibatkan keselamatan anak-anak kita. Lakukan apa yang terbaik agar kita sentiasa dapat mengingatkan diri kita sendiri bahawa ada si kecil bersama kita ketika itu.

Strok haba ini merupakan sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh, terutamanya di negara dengan iklim khatulistiwa seperti Malaysia. Pada 2015, People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) telah menyiarkan video untuk menunjukkan betapa bahayanya serangan strok haba ini sekiranya anda terperangkap di dalam kereta.

Menerusi video berkenaan, pemain American Football dari pasukan Arizona Cardinal, Tyrann Mathieu duduk di dalam kereta yang diparkir di bawah terik matahari. Atlet profesional berkenaan hanya bertahan selama lapan minit di dalam kereta tersebut, setelah suhu pada kabin meningkat sehingga 48.9 darjah selsius.

Bayangkan kalau kanak-kanak yang berada dalam situasi berkenaan, adakah dia mampu bertahan? Mustahil. Menurut pakar kecemasan paediatrik, badan kanak-kanak lebih cepat memanas berbanding orang dewasa, seterusnya lebih cepat diserang strok haba.

Kanak-kanak maut akibat terkurung dalam kereta bapa – sila periksa kenderaan sebelum meninggalkannya

Dalam masa hanya 15 minit terperangkap dalam kereta yang panas, kanak-kanak berisiko untuk mengalami kerosakan pada otak atau buah pinggang yang boleh menyebabkan kematian. Apabila suhu badan kanak-kanak mencapai 40 darjah Celsius, organ dalaman akan berhenti berfungsi, manakala pada suhu 41.6 darjah Celsius, kanak-kanak berkenaan boleh meninggal dunia.

Pada awal bulan ini, menerusi persidangan Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff memaklumkan sebanyak enam kes kematian kanak-kanak akibat ditinggalkan di dalam kereta dilaporkan sejak 2018 hingga kini. Jelasnya, kebanyakan mangsa ditinggalkan ketika ibu bapa pergi kerja atau hadir mesyuarat sehingga terlupa anak mereka berada di dalam kereta. Dan kejadian semalam merupakan kes yang ketujuh untuk tempoh berkenaan.

Mengulas lanjut, Siti Zailah berkata kerajaan telah meminda Akta Kanak-kanak 2001 pada 2016 dengan mengenakan hukuman lebih berat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 iaitu mengenai penganiayaan, pengabaian, pembuangan dan pendedahan kanak-kanak dengan memasukkan perkataan “atau bertindak secara cuai”.

“Tempoh hukuman maksimum penjara dinaikkkan daripada 10 tahun kepada 20 tahun. Denda pula dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM50,000 dan perintah khidmat masyarakat sebagai hukum mandatori,” katanya sambil menambah perkhidmatan kaunseling turut diberikan kepada ibu bapa yang terkesan dengan kes seumpama itu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required