Lexus Malaysia hari ini telah mengumumkan bahawa tempahan untuk SUV mewah gergasi Lexus LX 570 kini telah di buka untuk pasaran tempatan. Model ini akan dijual pada harga atas jalan bermula RM1,225,883, lengkap dengan pengecualian cukai jualan 2020 yang telah diumumkan kerajaan.

Pembeli untuk pasaran tempatan juga ditawarkan dengan LX 570 dalam varian Sport, dan ia akan dijual pada harga RM1,281,938. Harga-harga yang dinyatakan ini adalah harga untuk semenanjung Malaysia dan didaftarkan untuk kegunaan persendirian. Untuk harga kawasan lain seperti Sabah, Sarawak dan kawasan bebas cukai seperti Langkawi dan Labuan, anda boleh rujuk jadual di bawah.

Dengan harga yang diumumkan, ini bermaksud harga LX 570 telah naik dari versi-versi sebelumnya. Model ini mula masuk ke pasaran tempatan pada tahun 2015, dijual pada harga RM923,960. Kemudian pada awal 2018, ia turun kepada RM850,000.

Dengan badan yang besar, LX 570 turut digerakkan oleh unit penjana gergasi. Ia dibekalkan dengan enjin petrol 5.7 liter V8 berkuasa 362 hp dan tork maksima 530 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan. LX juga merupakan kenderaan off-road sebenar, dibekalkan dengan sistew AWD sepenuh masa lengkap dengan transfer case dua keljuan, serta tork antara gandar hadapan dan belakang akan diagihkan secara bervariasi menerusi LSD jenis Torsen.

Prestasi atas permukaan tar juga tidak mengecewakan – ia boleh memecut dari kedudukan pegun hingga 100 km/j dalam masa 7.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 210 km/j. Tidak hairanlah mengapa Lexus LX 570 merupakan pilihan popular oleh ‘pak-pak Arab’ di negara-negara padang pasir.

LX 570 hadir dengan enam mod pemanduan termasuk satu tetapan custom. Ia juga dibekalkan dengan suspensi bervariasi adaptif, kawalan ketinggian aktif (AHC), Multi-Terrain Select (MTS), kawalan mendaki dan bantuan mula mendaki (HSA). Pemandu juga akan menerima bantuan dari Multi-Terrain Monitor yang akan memberikan visual keadaan sekeliling dan bawah lantai kereta, pada kelajuan rendah.

Pada bahagian luaran, LX 570 menerima lampu hadapan LED dengan lampu isyarat membelok sequential dan juga rim 21-inci. Pembeli ditawarkan dengan pilihan warna badan baharu Terrane Khaki Mica Metallic, dan warna dalaman baharu termasuk warna Garnet, Sun Flare Brown dan Ocher.

Selain itu, SUV mewah ini diberikan 10 beg-udara serta sistem bunyi Mark Levinson Premium Surround dengan amplifier 16-saluran bersama 19 unit pembesar suara, konsol tengah dengan penyejuk, tempat duduk larasan kuasa dan berliang untuk semua bahagian, serta dua skrin 11.6-inci yang diletakkan pada belakang tempat duduk.

Varian Sport akan menerima ciri tambahan seperti bampar lebih agresif bersama mesh blok berbentuk-L pada gril spindle signatur Lexus, rim forged 21-inci, scuff plate bernyala, set pedal sport aluminium dengan getah ditengahnya, dan juga lampu pintu yang memancarkan imej logo.

Ciri prestasi yang dibekalkan pula adalah Front Performance Damper, iaitu penyerap hentak di bahagian hadapan yang memberikan ketegaran badan lebih kuat bagi memberikan pengendalian lebih stabil tanpa mengurangkan keselesaan.

Untuk keselamatan pula, LX 570 diberikan Lexus Safety System Plus (LSS+) untuk semua varian, menampilkan sistem seperti Siste Pra-Pelanggaran Hadapan (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dan Amaran Keluar Lorong (LDA). Lexus LX 570 adalah model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun, dan ia akan diberikan waranti pengeluar selama lima-tahun tanpa had perbatuan, serta sokongan penuh servis selepas jualan.