Dua minggu yang lalu, Hafizh Syahrin telah terlibat dalam kemalangan menakutkan waktu perlumbaan Moto2 di Litar Red Bull Ring Austria. Sementara berehat dan menunggu waktu untuk pulih, beliau telah pulang ke Malaysia dan kini menjalani kuarantin di sebuah hotel.

Dalam masa beliau tidak boleh melakukan sebarang aktiviti berat ini, Astro Arena telah mengadakan satu temu bual bersama pelumba negara itu, dan rakamannya dimuat naik dalam platform Youtube seperti yang anda boleh tonton di bawah.

Awal sesi melibatkan soalan-soalan biasa berkenaan perlumbaan tetapi memasuki minit keempat, pengacaranya mula bertanya soalan yang ‘panas’. Hafizh sebelum ini pernah memuat naik status kontroversi dengan ayat, “Akhir 2020 13 tahun dalam motorsports. Bye2”.

Ia menimbulkan pelbagai pertanyaan dan dalam temu bual ini Hafizh memberitahu apa sebenarnya maksud beliau, tetapi dalam keadaan berat dan banyak ayat yang tergantung. Beliau juga ada menyatakan rasa tidak senang hati dengan politik dalam sukan MotoGP ini.

Apabila ditanya sama ada beliau akan terus berlumba pada tahun hadapan, Hafizh menjawab, “Kalau tanya perasaan saya, memang saya ingin berlumba tetapi bila ada gangguan seperti politik yang kuat dan sifat dengki, itu yang buat saya sukar untuk teruskan.”