Projek menaik taraf Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Persimpangan Taman Melati, Gombak, yang telah pun siap sepenuhnya dijangka mampu mengurangkan kesesakan di laluan keluar masuk ke pantai timur, khususnya pada musim perayaan.

Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, projek bernilai RM106.83 juta itu membabitkan pelebaran laluan daripada tiga kepada lima lorong di persimpangan berkenaan.

“Pada hari biasa, laluan keluar masuk menghala ke Plaza Tol Gombak menerima jumlah kenderaan sekitar 80,000 hingga 120,000 dan ia bertambah teruk sewaktu musim balik kampung semasa perayaan sehingga mencecah 180,000 kenderaan sekali gus menyebabkan kesesakan yang agak kritikal.

“Diharap projek ini dapat memberikan manfaat kepada pengguna jalan raya dalam membantu mengurangkan kesesakan di MRR2 dan juga Terminal Bersepadu Gombak yang masih dalam pembinaan,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

Beliau turut berkata projek itu juga bakal memudahkan laluan masuk ke pusat Terminal Bersepadu Gombak, menyuraikan kesesakan lalu lintas dan memendekkan masa perjalanan selain mewujudkan rantaian perkhidmatan awam yang lebih selesa untuk ke Lembah Klang dan pusat bandar raya.

“Dijangkakan terminal itu akan siap sepenuhnya pada April atau Mei tahun depan sebelum Aidilfitri,” katanya.

Projek menaik taraf jalan MRR2 ini telah dilaksanakan secara kontrak reka dan bina dan peruntukannya diperoleh menerusi Dana Mudahcara Kerjasama Awam Swasta (PPP) yang disalurkan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri.

Ia dimulakan pada 13 September 2016 dan telah siap sepenuhnya pada 2 Ogos tahun lepas dengan tempoh tanggungan kecacatan adalah selama dua tahun sehingga 2 Ogos 2021.