Biar pun Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilanjutkan sehingga 31 Disember ini, namun pengecualian pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM), yang diberikan pada Mac lepas telah pun tamat mulai hari hari ini.

Walau bagaimana pun, menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, orang ramai masih diberikan masa sehingga 30 September ini untuk memperbaharui LMM dan LKM yang telah tamat tempoh itu, laporan Bernama.

Menurut Dr Wee, pembatalan pengecualian ini adalah selaras dengan kuasa menteri di bawah seksyen 66(1)(x) dan 127 (1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pengecualian) 2020.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mendapatkan maklumat sahih dan tidak menyebarkan berita-berita palsu serta sentiasa sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika mengunjungi kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau mana-mana agensi dalam usaha membebaskan negara sepenuhnya daripada pandemik COVID-19.