Umum mengetahui, lorong kecemasan adalah dikhaskan untuk kenderaan pihak berkuasa sekiranya ada berlaku hal kecemasan selain ruang untuk pengguna lebuh raya berhenti sekiranya kenderaan mereka rosak. Walau bagaimana pun, penggunaan lorong kecemasan oleh mana-mana kenderaan sebagai laluan terutamanya bagi mengelakkan kesesakan trafik adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Khairil Anwar Abu Kassim, berkata ini termasuklah penunggang motosikal yang dilarang menggunakan lorong kecemasan. Namun jika isu berkaitan kecemasan, penunggang motosikal wajar diberikan kelonggaran untuk menggunakan lorong kecemasan, ujar beliau.

“Menurut undang-undang, memang menjadi satu kesalahan sekiranya lorong kecemasan digunakan oleh mana-mana kenderaan termasuklah motosikal dan boleh dikenakan tindakan. Bagaimanapun, dalam konteks keselamatan, adalah lebih baik memisahkan kenderaan lain yang lebih besar seperti kereta atau kenderaan berat yang berada di laluan sama dengan motosikal.

“Justeru penunggang motosikal digalakkan menunggang di sebelah kiri laluan dan jika ada keperluan, mereka boleh menggunakan lorong kecemasan namun perkara itu masih di peringkat perbincangan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

Tambah beliau,membenarkan motosikal menggunakan lorong kecemasan boleh dianggap sebagai penyelesaian sementara dalam situasi tertentu, contohnya di lebuh raya yang mengalami kesesakan trafik, namun penunggang motosikal tidak sepatutnya menganggap laluan kecemasan itu adalah milik mereka.

“Kita masih meneliti perkara ini kerana masih wujud risiko lain seperti kemalangan membabitkan penunggang motosikal dengan kenderaan rosak yang berhenti di lorong kecemasan.

“Penunggang motosikal juga harus mematuhi undang-undang yang sudah dimaktubkan bahawa tiada kenderaan boleh menggunakan lorong kecemasan dan sekiranya ada keperluan untuk menggunakan lorong kecemasan, mereka perlu menggunakannya secara berhemah,” katanya.

Walau bagaimana pun, menurut Khairil Anwar, penunggang motosikal sewajarnya mematuhi undang-undang asas semasa menunggang motosikal termasuk memakai topi keledar dengan sempurna, memakai pakaian keselamatan yang bersesuaian termasuk kasut. Mereka juga seharusnya memikirkan bahawa sebuah motosikal yang mempunyai fungsi brek yang lebih baik seperti ABS akan dapat membantu mengelak kemalangan.

“Ini bagi mengurangkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kemalangan, dan dalam masa sama mereka perlu mematuhi had laju yang ditetapkan serta peka dengan situasi di laluan itu.

“Ini kerana kita kerap mendengar berlaku kemalangan membabitkan motosikal dengan kenderaan yang berhenti di lorong kecemasan kerana rosak atau ada kenderaan lain yang tiba-tiba menukar laluan dan masuk ke lorong kecemasan.

“Perkara ini boleh dielakkan sekiranya penunggang motosikal menggunakan lorong kecemasan dengan berhati-hati. Lorong kecemasan bukanlah laluan khas motosikal,” katanya.

Sebelum ini, terdapat beberapa insiden yang berlaku di mana terdapat kereta merempuh penunggang motosikal yang menggunakan laluan kecemasan. Malah hujung minggu lalu, satu video tular yang memaparkan sebuah Toyota Camry melanggar penunggang motosikal yang sedang melalui lorong kecemasan. Walau bagaimana pun pemandu Camry berkenaan telah pun ditahan reman untuk siasatan lanjut.