Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengumumkan bahawa kaedah pembayaran caj parkir di bahu jalan yang menggunakan mesin di sekitar Kuala Lumpur telah pun berakhir pada 30 September 2020 (semalam).

Di mana bermula 1 Oktober 2020 (hari ini), kaedah pembayaran caj parkir tersebut hanya menggunakan aplikasi terpilih seperti EZ Smart Park, Flexiparking, Wilayah Parking atau M-Cash. Selain itu, pengguna juga boleh menggunakan transaksi menerusi e-wallet untuk tujuan pembayaran caj parkir yang dinyatakan.

Menurut DBKL menerusi kenyataan yang dikeluarkan, pihaknya juga sedang dalam perancangan untuk memperluaskan lagi kaedah transaksi caj parkir menerusi aplikasi Boost dan Touch ‘n Go e-wallet bagi kemudahan orang ramai.

Selain itu, DBKL juga memaklumkan pas harian dan pas bulanan untuk parkir buat masa ini masih belum beroperasi. “Kemudahan ini hanya akan diaktifkan setelah naiktaraf sistem dilaksanakan. Walau bagaimana pun, permohonan bagi petak khas parkir masih beroperasi seperti biasa dan kadar caj TLK masih kekal seperti sedia ada,” ujar DBKL.

Susulan dengan pengumuman ini, DBKL menasihati orang ramai agar menyesuaikan diri untuk menggunakan kaedah baharu ini bagi membuat pembayaran caj parkir di tempat letak kereta di bahu jalan sekitar Kuala Lumpur.