Pengedar rasmi motosikal Vespa di Malaysia baru sahaja melancarkan model istimewa Primavera Sean Wotherspoon, yang dipasarkan di Malaysia pada harga RM24,960. Ini adalah satu hasil kolaborasi antara Vespa dengan seorang pereka dan ikon fesyen yang terkenal dalam dunia street wear, Sean Wotherspoon.

Keistimewaan model ini adalah pada penampilannya, yang datang daripada idea Whotherspoon sendiri, melibatkan campuran warna kuning, merah, hijau gelap, putih dan biru muda pada keseluruhan bahagian motosikal ini. Anda juga boleh menyaksikan pada bibir rimnya terdapat tulisan Vespa manakala pada panel tepi diletakkan tulisan Primavera yang bersusun.

Selain warna pada panel badan, Wotherspoon juga telah memilih warna khas untuk beberapa bahagian lain seperti tempat duduk coklat muda, lapik kaki merah (sama seperti penyerap hentak) serta kemasan getah biru. Melengkapkan penampilan model ini adalah kemasan krom pada perumah lampu, rak barangan hadapan, cermin sisi serta pemegang untuk penumpang belakang.

Bahagian mekanikal model ini masih sama seperti Primavera 150 biasa di mana ia menggunakan enjin empat strok, satu silinder i-GET 155 cc, suntikan bahan api serta transmisi automatik CVT, sekaligus mampu menghasilkan kuasa 12.9 hp pada 7,750 rpm.

Rim adalah bersaiz 12 inci dan kelengkapan lainnya termasuk brek cakera 200 mm di hadapan, brek dram di belakang, ABS one-channel, satu penyerap hentak di hadapan dan belakang, tangki bahan api lapan liter, tinggi tempat duduk 790 mm dan tahap emisi Euro 4.