TC Subaru telah melancarkan Program Perlindungan Subaru Auto (SAPP) baharu, yang direka khas untuk pelanggan yang memiliki kenderaan Subaru yang hampir tamat tempoh waranti. Menurut syarikat ini, program tersebut menawarkan pengurangan kos penyelenggaraan dengan merangkumi komponen sistem kenderaan utama yang terpilih, di samping membantu meningkatkan nilai penjualan semula kenderaan.
Terdapat dua pakej yang ditawarkan menerusi program ini, iaitu Pakej Perak yang ditawarkan pada harga RM1,300, dan Pakej Emas pula berharga RM1,600. Kedua-dua pakej ini didatangkan dengan liputan waranti untuk satu tahun atau sehingga 20,000 km, yang mana tiba terlebih dahulu. Malah pembelian pakej ini boleh dipindah milik untuk pemilik akan datang jika masih dalam tempoh liputan waranti.
Dengan pakej Perak, pelanggan boleh membuat tuntutan sehingga RM5,000 bagi setiap transaksi atau maksimum sehingga RM10,000 setahun. Liputan bagi pakej berkenaan merangkumi:
- Sistem pendingin hawa (termasuk compressor, condenser, evaporator dan blower motor)
- Sistem brek (termasuk master pump, ABS actuator, module dan booster)
- Sistem penyejukan (radiator, water pump dan thermostat)
- Sistem elektrikal (termasuk motor penghidup, alternator, motor bilah pengelap cermin, motor kipas,ignition coil, motor cermin tingkap berkuasa, hon, modul kawalan enjin, modul transmisi automatik dan modul beg udara)
- Sistem bahan api (termasuk pengepam bahan api dan regulator)
Bagi pakej Emas pula, pelanggan boleh membuat tuntutan sehingga RM10,000 bagi setiap transaksi, dengan tuntutan maksimum adalah sebanyak RM25,000 setahun. Pakej ini sama dengan pakej Perak, tetapi dengan liputan tambahan termasuk:
- Komponen enjin (termasuk kepala silinder, cam & value mechanism, timing gear & chain, water pump, sistem pelinciran, oil pump, pistons, crankshaft, cylinder bores, intake & exhaust manifold, flywheel, throttle valve, dab airflow meters
- Komponen transmisi – automatik, CVT atau manual (termasuk torque converter, internal shaft, gear, synchromesh device, shaft, bearing, planetary system, brake bands, oil pump, transfer gear, klac, variable pulley, dan control valve body)
- Gandar dan komponen lain (termasuk crown gears, pinion & support bearing, planetary gear, dan half shaft)
Syarikat ini turut menambah bagi melayakkan pelanggan membeli pakej Emas, kenderaan perlulah yang didaftarkan tidak lebih dari enam tahun atau pun perbatuan di bawah 100,000 km. Selain itu, pelanggan yang ingin membeli mana-mana pakej SAPP perlulah menghantar kenderaan mereka untuk diperiksa dan perlu melepasi 140 mata pemeriksaan dan mengekalkan penyelenggaraan lengkap dengan mana-mana pusat servis bertauliah. Sebarang kecacatan yang dikesan sepanjang pemeriksaan perlukan diperbaiki oleh pusat servis bertauliah sebelum diterima untuk menyertai progtam ini.
Selain sebahagian daripada liputan yang disebut di atas, program ini juga memberikan beberapa manfaat tambahan, termasuklah Subaru Breakdown Assist selama satu tahun, serta khidmat nasihat teknikal dan diagnostik secara percuma di pusat servis bertauliah.
Syarikat ini juga menawarkan diskaun sebanyak 10% bagi membaiki dan mengecat badan kenderaan (termasuk alat ganti dan kos buruh), cenderahati rasmi Subaru, servis ‘in-house grooming’ (di cawangan terpilih) dan alat ganti yang ditidak termasuk dalam jaminan SAPP (contohnya pad brek, tayar dan sebagainya).
Jika berminat tetapi tidak mahu membayar harga pakej penuh, syarikat ini turut menawarkan pelan pembayaran ansuran sifar-peratus dengan kerjasama beberapa bank utama termasuk Maybank, CIMB, Public Bank, RHB Bank dan AmBank. Untuk mendaftar SAPP, anda bolehlah melayari laman web rasmi Subaru Malaysia.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.