Di mana pun anda berada tengah hari ini dan jika berkelapangan, tonton siaran langsung pelancaran rasmi Volkswagen Passat R-Line 2020 dalam talian pada jam 12 tengahari. Mula dipertontonkan dan dibuka untuk tempahan sejak 12 Ogos lalu, acara berkenaan akan disiarkan melalui saluran rasmi Youtube dan Facebook Volkswagen Passenger Cars Malaysia.

Passat R-Line dikuasakan oleh enjin turbo 2.0TSI baru yang menjana 190 PS dari 4,180 rpm hingga 6,000 rpm dan 320 Nm tork dari 1,500 rpm hingga 4,180 rpm. Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar basah direct shift (DSG) tujuh-kelajuan baru dan telah ditambah baik, yang turut boleh dikawal menerusi pedal penukar gear.

Imej luaran Passat R Line ini ditampilkan dengan kemasan yang sporty termasuk dengan lampu utama dan lampu belakang unit LED, padanan bampar hadapan dan belakang R-Line baharu, lencana sisi R-Line, kemasan krom dan rim aloi Verona bersaiz 19-inci (varian Elegance dengan set 18-inci). Selain itu, kelihatan corong pengambilan udara hadapan yang lebih besar dengan sudut berbentuk-C dengan kemasan hitam berkilat serta skirt sisi yang lebih kedalam.

Di dalam, Passat R Line dilengkapi dengan penggunaan kulit Nappa hitam gayaan karbon pada tempat duduk, stereng dan pedal sport aluminium. Malah ia turut didatangkan dengan sistem infotainmen Discover Pro Volkswagen bersama skrin sentuh bersaiz 9.2-inci.

Ciri-ciri lain termasuklah kawalan suara, gestur, skrin yang boleh dibahagikan kepada tiga bahagian dan bersama ketersambungan Wireless App-Connect dengan Apple Car Play. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan suhu tiga-zon, cermin pandang belakang anti-silau, kawalan kelajuan, sistem audio dengan lapan-pembesar suara dan kamera undur.

Bagi varian R-Line ini, ia juga hadir dengan ciri Dynamic Chassis Control (DCC) adaptif dan XDS electronic differential lock. Bagi aspek keselamatan pula, R-Line dilengkapi dengan enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan, pemantauan titik buta dengan kepekaan trafik lintasan belakang, sistem pemantauan tekanan tayar dan cagak ISOFIX untuk tempat duduk belakang.

Pra-tonton Volkswagen Passat R-Line 2020 di Malaysia