Honda Malaysia telah melancarkan satu aplikasi mudah alih yang dinamakan sebagai HondaTouch, yang boleh digunakan pada peranti Android dan juga iOS. Sesiapa sahaja boleh menggunakan aplikasi ini, dan ia direka sebagai satu platform untuk memberikan pelbagai informasi serta servis yang berkenaan dengan Honda.

“Aplikasi HondaTouch direka untuk memberikan kemudahan antara pengedar Honda dengan pelanggan, dengan menyediakan akses informasi servis kenderaan, bantuan kenderaan dan berita terkini daripada Honda Malaysia,” kata pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia, Toichi Ishiyama.

“Akhirnya, visi kami adalah untuk menghasilkan nilai untuk mobiliti dan memperbaiki kehidupan seharian pelanggan kami melalui interaksi yang kerap, dan aplikasi HondaTouch yang intuitif ini mampu melakukannya,” tambah beliau.

Melalui aplikasi HondaTouch, pemilik Honda dapat melakukan temu janji servis kenderaan mereka dengan lebih mudah, bersama ciri berguna lain seperti peringatan temu janji servis, pengesan status servis masa sebenar dan sejarah servis.

Sebagai tambahan, pemilik juga boleh mendapatkan servis bantuan tepi jalan sekiranya kenderaan rosak atau kemalangan, menggunakan ciri Emergency Assistance dalam aplikasi tersebut. Peringatan pembaharuan cukai jalan juga boleh dikeluarkan oleh aplikasi itu.

Bagi yang tidak memiliki kenderaan Honda, mereka masih boleh menggunakan aplikasi ini untuk mencari pengedar Honda terdekat dan melihat promosi, acara atau berita terkini daripada jenama itu. Ada juga ciri tempatan awal kenderaan baru, yang membolehkan pengguna membuat tempahan model yang dimahukan secara digital, tanpa perlu pergi ke pusat pameran. Mereka juga boleh menghubungi Honda Malaysia sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, menggunakan aplikasi ini.

“Telah menjadi misi kami untuk memberikan yang terbaik dalam servis pelanggan dan mencapai tahap kepuasan pelanggan yang cemerlang. Melalui aplikasi HondaTouch baru ini, pelanggan kini boleh terus berhubung dan mendapat berita terkini berkenaan Honda Malaysia melalui semua sepuluh ciri yang disediakan, dari mana sahaja mereka berada dan pada bila-bila masa sahaja,” kata Ishiyama.