Volkswagen ID.4 X, ID.4 Crozz diperkenalkan di China

Volkswagen ID.4 X, ID.4 Crozz diperkenalkan di China

SUV elektrik Volkswagen ID.4 telah pun diperkenalkan September lalu, dan kini pengeluar dari Jerman itu melancarkan dua lagi versi bagi SUV itu di China, iaitu ID.4 X dan juga ID.4 Crozz. Bagi ID.4 X, rekaan luarnya sedikit berbeza berbanding ID.4 yang dijual di pasaran negara lain.

Dua versi baru bagi ID.4 ini dibuat khas untuk pasaran China, melalui kerjasama berasingan antara Volkswagen dengan sebuah syarikat di negara itu. ID.4 X dibuat bersama SAIC-Volkswagen, manakala ID.4 Crozz pula melalui FAW-Volkswagen.

ID.4 X mempunyai ukuran 20 mm lebih panjang dan 11 mm lebih tinggi berbanding ID.4 Crozz, manakala lebar dan jarak rodanya masih sama untuk kedua-dua versi ini. ID.4 X mendapat lampu hadapan yang lebih panjang di tepi, seperti Golf generasi kelapan, manakala bampar pula mendapat bukaan udara lebih besar di penjuru berbanding ID.4 Crozz.

Volkswagen ID.4 X, ID.4 Crozz diperkenalkan di China

Rekaan rim yang digunakan pada dua versi ini juga berbeza. Di bahagian belakang, tempat nombor plet ID.4 X terletak lebih tinggi, di bawah logo VW sementara untuk ID.4 dan ID.4 Crozz ia terletak bawah sedikit daripada pintu but.

Pada bahagian dalam, ID.4 X mendapat perincian bagi membezakannya dengan ID.4 yang dijual di pasaran antarabangsa. Skrin sesentuh 12 inci untuk sistem infotainmen masih lagi sama sementara kemasan di kelilingnya dijadikan warna matte berbanding hitam berkilat pada ID.4. Konsol tengah menempatkan pad pengecas tanpa wayar, dua soket USB-C dan satu tempat meletak cawan (pada ID.4 dan ID.4 Crozz ada dua).

Tempat duduk ID.4 X dibalut dengan beberapa corak fabrik dan warna, tetapi bentuknya masih lagi kelihatan sama. ID.4 X dipasang dengan bumbung panoramik kaca, bersama tempat duduk yang boleh dilipat secara berasingan.

Melihat kepada laman web Volkswagen China, perincian teknikal dua versi ID.4 khas untuk negara ini cuma menunjukkan ia boleh mencapai jarak gerak antara 400 hingga 550 km melalui protokol NEDC, dan kapasiti baterinya yang paling besar boleh dicas selama 45 minit untuk memberikan tahap 80%.

Sebagai perbandingan, ID.4 pasaran antarabangsa dijual dengan versi asas RWD yang berkuasa 204 PS dan menggunakan motor elektrik yang diletakkan pada gandar belakang. Kapasiti bateri yang disediakan adalah sehingga 77 kWh dan boleh memberikan jarak gerak sehingga 520 km dalam ujian WLTP.

ID.4 pasaran antarabangsa juga akan disertai oleh varian dua motor elektrik, yang menambah motor elektrik 102 PS/140 Nm pada gandar hadapan, untuk menjadikan kuasa keseluruhannya 306 PS. ID.4 boleh dicas sehingga kadar 125 kW di stesen pengecas pantas, di mana selama 30 minit, 320 km jarak perjalanan dapat disediakan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required