Pada jam empat petang nanti, menteri kewangan negara, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan membentangkan Belanjawan 2021 di dalam parlimen. Seperti biasa, kami akan memerhati ucapan pembentangan itu, dan memuat naik segala perkara yang berkaitan dengan automotif dan juga pengangkutan di sini. Pastikan anda terus bersama kami.

Tiada sambungan moratorium pinjaman automatik

  • Dengan bank kini melaporkan 85% peminjam sudah kembali menyambung bayaran pinjaman mereka selepas tempoh moratorium tamat 30 September lalu, kerajaan telah bercadang tidak menyambung skim moratorium pinjaman ini.

    Walaubagaimanapun, mereka yang berada dalam kategori B40 dan menghadapi masalah untuk membayar semula pinjaman masih mendapat dua pilihan, sama ada menyambung moratorium selama tiga bulan lagi atau mengurangkan bayaran bulanan mereka sebanyak 50% selama enam bulan.

    Mereka yang berada dalam kategori M40 pula boleh merujuk semula pakej kewangan mereka melalui proses pengisytiharan sendiri, sekiranya berhadapan dengan pengurangan pendapatan. Kemudahan ini akan ditawarkan dari Disember 2020.

Jalan

  • RM1.3 bilion akan dibelanjakan untuk memperbaiki jalan di dalam negara, dengan pelaksanaan terhadap projek jalan luar bandar dan antara negeri sepanjang 920 km, yang akan memberi manfaat kepada 290,000 penduduk.

Pengangkutan awam

Pas perjalanan My30

  • Program pas perjalanan pengangkutan awam tanpa had My30 yang diperkenalkan pada Jun lalu akan diteruskan, dan dikembangkan ke Pulau Pinang serta Kuantan, dengan peruntukan sebanyak RM300 juta.

Pas perjalanan bulanan tanpa had RM5 sebulan untuk pelajar dan OKU

  • Pas KTM berharga RM5 akan diperkenalkan untuk pelajar Tahun 1 hingga Tingkatan 6, serta OKU, yang boleh digunakan tanpa had dalam masa sebulan untuk servis KTM Komuter di Lembah Kelang serta keretapi antara bandar di antara Kuala Lipis dan Tumpat di semenanjung dan Beaufort ke Tenom di Sabah.

Bas

  • Program transformasi servis bas bertahap yang sudah dilaksanakan di Kangar, Seremban, Ipoh dan Kuala Terengganu akan dilaksanakan pula secara berperingkat di Johor Bharu, Kuching, Kota Kinabalu dan Kuantan, dengan peruntukan sebanyak RM150 juta untuk kerja naik taraf.
  • Untuk meringankan beban pengusaha servis bas, kerajaan telah mengumumkan pengecualian cukai jualan terhadap pembelian bas baru dalam negara untuk tempoh dua tahun, bermula 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2022.

Keretapi

  • Kerajaan komited dengan pelaksanaan projek jalan dan keretapi, dengan memperuntukkan RM15 bilion bagi membiayai projek seperti Lebuh Raya Pan Borneo, landasan berkembar Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) laluan Gemas-Johor Bahru dan fasa satu landasan berkembar Lembah Kelang. Pembangunan projek rel lain yang akan disambung adalah Rapid Transit System Link (RTS) Johor-Singapura dan MRT3 di Lembah Kelang.

Nota: Semua perkara yang dibentangkan dalam Bajet 2021 ini masih memerlukan persetujuan daripada Dewan Rakyat sebelum dapat dilaksanakan sepenuhnya.